Tiada Keperluan Pasang Pagar Kawat Berduri Di Kawasan Perumahan Penjara Kepayan

KOTA KINABALU: Tiada keperluan untuk memasang pagar kawat berduri di kawasan penjara dan perumahan penjara Kepayan meskipun kawasan itu berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata ini kerana kawasan terbabit telah dikelilingi pagar dan hanya mempunyai satu pintu untuk keluar dan masuk ke kawasan berkenaan.

“Pagar berduri hanya dipasang di kawasan tidak tertutup seperti di kawasan kampung yang tidak berpagar bagi memudahkan kawalan pergerakan (penduduk),” katanya kepada pemberita selepas tinjauan ke kawasan PKPD itu hari ini.

Penjara Kepayan diletakkan di bawah PKPD selama dua minggu sejak 21 Okt lepas susulan peningkatan kes COVID-19 di penjara berkenaan.

Dalam pada itu, Habibi berkata polis terus memperketatkan pemantauan di sembilan daerah di Kota Kinabalu termasuk Pulau Gaya bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Sementara itu, Pengarah Penjara Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Nora Musa berkata keadaan di Penjara Kepayan adalah terkawal meskipun dalam tempoh PKPD.

Beliau berkata kakitangan Jabatan Penjara itu khususnya dari bahagian psikologi, agama mahupun kesihatan turut membantu memberi khidmat kaunseling kepada kakitangan dan banduan yang positif COVID-19.

“Penjara Kepayan juga masih mempunyai ruang untuk mengasingkan banduan (positif COVID-19) di kelas-kelas pemulihan seperti mana yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Setakat semalam, jumlah kes dari kluster Penjara Kepayan mencatatkan sebanyak 1,155 kes sejak ia dikesan pada 18 Okt lepas.