Tiada Kematian Remaja Divaksin Di Lahad Datu

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan dakwaan seorang remaja meninggal dunia akibat divaksin di Lahad Datu.

Dakwaan berlaku kematian akibat vaksinasi membabitkan remaja seperti ditularkan melalui sebuah video dalam media sosial adalah tidak benar.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, penyebaran maklumat yang tidak sahih kepada masyarakat adalah sikap tidak bertanggungjawab dan KKM menasihati semua pihak yang ingin membuat kenyataan umum supaya bersedia dengan implikasi daripada tindakan tersebut.

“Sebelum mengeluarkan maklumat awam, pastikan sumber yang dikongsi disahkan terlebih dahulu dengan sumber yang sahih atau pihak bertanggungjawab.

“Kenyataan yang tidak benar akan menyebabkan kekeliruan dan salah tanggapan ibu bapa terhadap Program Vaksinasi Covid-19 untuk remaja,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noor Azmi menasihati ibu bapa atau penjaga untuk memantau keadaan remaja selepas menerima vaksin Pfizer kerana kesan sampingan akibat divaksin boleh berlaku. Namun, kebanyakannya adalah kesan ringan.

Bagi petugas kesihatan kerajaan dan swasta yang mengesyaki pesakit mengalami kesan sampingan akibat AEFI perlu segera membuat laporan kepada Agensi Regulatori Farmasi Negara (NFRA).

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Rose Nani Mudin berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung video tular yang mendakwa remaja meninggal dunia akibat divaksin di Lahad Datu.

Katanya, perbuatan tidak bertanggungjawab individu tersebut boleh menimbulkan kebimbangan dan perasaan cemas kepada orang awam.

-TAMAT-