Tiada Kematian Covid-19 Dilaporkan Di Beaufort Seperti Ditularkan – Pengarah Kesihatan

CHRISTINA RUNDI

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menafikan berlaku kematian akibat penyakit Covid-19 di Beaufort, seperti yang ditularkan dalam Whatsapp.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, mesej yang ditularkan melalui jaringan sosial Whatsapp itu tidak benar.

Mengenai bilangan individu yang diperintahkan menjalani kuarantin selama 14 hari, beliau berkata, sehingga kini terdapat 9,653 orang yang diperintahkan menjalani kuarantin di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988.

Daripada jumlah itu, seramai 6,288 orang kontak rapat masih menjalani perintah kuarantin. Manakala, 3,365 orang lagi telah tamat menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

“Di Pusat Kuarantin pula masih terdapat 623 orang yang ditempatkan di 24 buah Pusat Kuarantin dimana, 53 orang telah dibenarkan pulang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Menyentuh tentang ujian Covid-19 yang dijalankan pada 3 April, Christina berkata, sebanyak 812 ujian Covid-19 telah dijalankan dan 11 sampel adalah positif termasuk satu sampel ulangan.

“Sehingga 8 pagi semalam, seramai 177 pesakit Covid-19 masih dirawat, manakala, 89 pesakit di bawah siasatan (PUI) dan 41 pesakit dengan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) sedang dirawat di enam hospital berpakar di Sabah.

Berkenaan Operasi Bersepadu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebanyak 1,826 premis telah diperiksa di seluruh Sabah dan 10 premis di Sandakan diarahkan tutup termasuk restoran, bengkel, kedai serbaneka dan mesin jual air. Turut diarahkan tutup sebuah restoran di Keningau.

Sementara itu, terdapat 3,125 orang yang berada di Pusat Kuarantin, pesakit PUI dan petugas kesihatan telah menerima Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial di Bilik Gerakan Hospital Mesra Bukit Padang.

Berkuatkuasa 3 April, semua rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara diarahkan menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin selama 14 hari.