Tiada Kakitangan SEDCO Positif Covid-19

KOTA KINABALU: Keputusan ujian seorang kakitangan di Wisma SEDCO yang dikatakan positif Covid-19 semalam  masih belum disahkan.

Menteri Perdagangan dan Perindustrian (MTI), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, kakitangan itu sebenarnya masih menunggu hasil ujian swab yang dibuat di Hospital Queen Elizabeth.

“Bagaimana pun saya telah dimaklumkan oleh pegawai Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) bahawa kakitangan tersebut kurang sihat dan telah mendapatkan pemeriksaan di sebuah hospital swasta sebelum dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth untuk pemeriksaan lanjut sekaligus membuat ujian swab Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan bagi mengulas notis penutupan Wisma SEDCO yang tular di media sosial sejak semalam.

Madius berkata, kekeliruan penyampaian maklumat dalaman menyebabkan notis yang dikeluarkan tidak menggambarkan situasi sebenar.

Katanya, penutupan itu sebenarnya untuk memberi laluan kepada proses sanitasi dan penyahkuman di bangunan tersebut.

“Bagaimanapun, saya dimaklumkan satu notis baharu telah dikeluarkan sebagai pembetulan terhadap notis yang terdahulu.

“Sehubungan itu, orang ramai diminta bertenang dan tidak panik serta terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Semoga keputusan ujian swab kakitangan ini adalah negatif,” katanya.