Tiada Kakitangan Hilang Kerja, Berikutan Kontrak Pengurusan Air Tamat

3131

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony menafikan dakwaan kakitangan enam syarikat konsesi pengurusan loji rawatan air yang ditamatkan kontrak pada 15 Januari ini akan kehilangan kerja.

Beliau memberi jaminan tiada seorang pun daripada 1,335 orang kakitangan syarikat konsesi itu akan kehilangan kerja kerana kesemua mereka akan diserap masuk dalam Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam.

Katanya, pelantikan mereka ke dalam JANS adalah pelantikan khas jadi, mereka tidak perlu menghadiri temuduga mahupun ujian pengambilan.

“Saya memberi jaminan ini berikutan adat mesej yang ditularkan mendakwa semua kakitangan enam syarikat konsesi itu akan kehilangan kerja pada 15 Januari ini. Saya memberi jaminan tiada kakitangan yang akan kehilangan kerja,” katanya semasa Sidang Media, di sini pada Khamis.

Peter berkata, surat pelantikan secara individu akan diberikan kepada semua kakitangan kemudian.

Penamatan kontrak enam syarikat konsesi yang menguruskan 58 loji rawatan air yang diumumkan pada 22 Disember tahun lalu menimbulkan kebimbangan terhadap 1,335 kakitangan yang takut kehilangan kerja.

Bagaimanapun, jaminan kementerian untuk menyerap masuk kakitangan itu memberi nafas lega terhadap kesemua mereka.

Menurutnya, JANS sudah mengeluarkan surat pekeliling kepada enam syarikat konsesi itu dengan menyatakan kakitangan mereka akan diserapkan di jabatan berkenaan.

Peter sebelum ini dipetik berkata, penamatan kontrak itu dilakukan sebagai langkah yang membolehkan Kerajaan Negeri menjimatkan lebih RM1 bilion. Ia kerana kerajaan perlu membayar RM15 juta sebulan dalam tempoh 20 tahun berdasarkan kontrak yang dimeterai dengan kerajaan terdahulu (Barisan Nasional).

Enam syarikat konsesi yang ditamatkan kontrak itu adalah Arawira Sdn Bhd; Yuda Water Sdn Bhd; Akal Kukuh Sdn Bhd; Sahabat Megajuta Sdn Bhd; Harmony Water Sdn Bhd dan BYT Vision Sdn Bhd.

Dalam pada itu, Peter berharap penyerahan loji-loji rawatan air pada 15 Januari ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden.

Beliau turut menasihatkan kakitangan yang khuatir tentang pelantikan mereka dalam JANS boleh menghubungi hotline Jabatan Air menerusi talian 088 326888.

Turut hadir dalam sidang media itu adalah Pengarah JANS Amarjit Singh.