Tiada Halangan Anak Bekas Pemimpin Nombor 2 MIC Sertai Warisan – Vigneswaran

KUALA LUMPUR : MIC tidak membantah langkah bekas anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC) parti itu selama dua penggal, Datuk Seri S.Sunther, untuk menyertai Parti Warisan (Warisan), kata Presidennya Tan Sri S.A. Vigneswaran.

Beliau berkata Sunther, anak bekas Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S. Subramaniam, telah bertemu dengannya untuk memaklumkan mengenai hasratnya itu.

“Saya tidak ada apa-apa tentangan ataupun sebarang bantahan untuk beliau meneruskan bidang politik dalam Warisan, malah saya berterima kasih kepada beliau kerana telah mengambil masa dan berjumpa dengan saya.

“Perjumpaan berlangsung selama setengah jam, dan saya ucapkan ‘all the best’ kepada beliau dalam parti Warisan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) 2022, semalam.

12 Januari lalu, media melaporkan Sunther membuat keputusan untuk beralih arah dengan menyertai Warisan.

Sunther berkata penubuhan parti berbilang kaum itu merupakan satu langkah ke hadapan.

“Saya menyertai Warisan kerana saya percaya kepada visi dan hala tujunya.

“Saya kini fokus untuk dapat menyumbang kepada parti baru saya dan membina jentera akar umbi yang kuat untuk dapat berkhidmat kepada rakyat dengan berkesan.

“Saya benar-benar merasakan parti berbilang kaum perlu untuk menggapai Malaysia yang benar-benar bersatu — bukan dengan mengenepikan kaum dan agama, tetapi dengan merangkul dan menghormati perbezaan antara kita.

“Warisan merangkumi semua kaum dan semua lapisan masyarakat. Saya tahu saya boleh memainkan peranan yang besar (dalam hal itu),” katanya semasa wawancara dengan Malaysiakini.

Sunther, 43, ialah pengarah urusan akhbar harian berbahasa Tamil, Makkal Osai.

Tambahnya, walaupun menyertai Warisan, dia sedia bekerjasama dengan MIC dalam usaha memartabatkan masyarakat India.

“Keluarga saya akan sentiasa bersama MIC tetapi apabila kita menghampiri era baru, saya terpaksa membuat pilihan mengikut apa yang saya percaya — untuk beralih kepada parti bukan berasaskan kaum.

“MIC sentiasa membela nasib masyarakat India. Saya sentiasa gembira untuk bekerjasama dengan mereka dalam mencapai matlamat mereka untuk memartabatkan masyarakat India,” katanya.

Sunther menyamakan keputusannya dengan langkah politik yang diambil presiden Warisan sendiri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

Shafie dipilih sebagai Ahli Parlimen dari Umno pada 1995 sebelum dilantik sebagai Naib Presiden parti itu.

Begitu juga Naib Presiden Warisan, Junz Wong yang pertama kali memenangi kerusi DUN Likas pada 2013 atas tiket DAP, tetapi kemudiannya bertanding di bawah tiket Warisan pada pilihan raya umum 2018.

“Perkara seperti ini berlaku, manusia menyesuaikan diri dan berubah, demi kemajuan negara dan kerana itu Warisan ditubuhkan. Saya melihat Warisan sebagai masa kini dan masa depan negara ini,” kata Sunther.