Tiada Dokumen IMM13 Baru Dikeluarkan Di Sabah; Hanya Bancian – KPI

Mustafar (tengah) bersama Pengarah Imigresen Negeri Sabah Datuk Musa Sulaiman dan pegawai-pegawai kanan Imigresen yang lain.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Tiada sebarang pengeluaran Kad Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13) diberikan ke atas anak-anak pemegang dokumen itu di Sabah, kata Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Seri Mustafar Ali.

Beliau berkata, apa yang dilakukan pada 1 hingga 11 Oktober itu hanyalah bancian untuk mengetahui dan meneliti bilangan anak-anak kepada pemegang kad IMM13 yang berada di negeri ini.

Bagaimanapun bilangan sebenar masih belum diketahui kerana proses penelitian itu terpaksa dihentikan bagi membolehkan perbincangan lanjut mengenai perkara itu dilakukan.

Katanya, pihaknya bersama Kerajaan Negeri Sabah, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang menjalankan perbincangan secara mendalam mengenai langkah menangani permasalahan berkaitan dokumen IMM13.

“Perbincangan sedang berjalan. Saya tidak katakan ketetapan masa berapa lama kerana perbincangan ini akan mengambil masa untuk menentukan tindakan selanjutnya disebabkan ia melibatkan pelbagai agensi,” katanya ketika mengulas mengenai penularan video berkaitan dengan pemberian dokumen IMM13 di Sabah pada Khamis lalu.

Beliau berkata demikian semasa sidang media mengenai perkembangan terkini operasi Jabatan Imigresen di Sabah.

Mustafar berkata, penelitian bagi mengenalpasti jumlah anak-anak pemegang kad IMM13 itu dilakukan bagi menjaga kebajikan kanak-kanak itu dalam soal mendapatkan pendidikan serta khidmat penjagaan kesihatan.

“Anak-anak ini mahu belajar di sekolah. Tanpa dokumen, ia akan menyukarkan mereka. Maka, atas dasar keprihatinan kerajaan kita akan melihat bagaimana untuk membantu mereka dalam aspek pendidikan,” jelasnya.

Ditanya kenapa Kerajaan Negeri tidak mengetahui tentang perkara berkaitan bancian IMM13 itu, Mustafar berkata, atas sebab itulah beliau memaklumkan tentang perkara itu kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal pagi tadi menerusi panggilan telefon.

Pendaftaran dokumen IMM13 telah dihentikan sejak 2013, yang mana dokumen itu dikeluarkan kepada warga Filipina yang melarikan diri ke Sabah pada 1970an ekoran krisis politik yang berlaku di Selatan Filipina.

Dalam perkembangan lain, imigresen juga akan melihat keperluan untuk menambah anggota dan kaunter perkhidmatan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) seperti dicadangkan Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew.

Mustafar berkata, beliau memberi jaminan untuk menempatkan kakitangan tambahan serta menambah jumlah kaunter termasuk auto gate bagi memudahkan orang ramai dan pelancong yang berkunjung ke Sabah.

Setakat ini, terdapat 40 kakitangan yang bertugas secara bergilir di KKIA.

BERITA BERKAITAN: –

Mustafar Ali: Imigresen, Sabah Bincang Pengurusan Terbaik IMM13

Shafie Mahu Kuasa Diberi Dalam Urusan Dokumen Pengenalan Diri