Tiada Atlet Sabah Positif Covid-19 & Dikuarantin

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Menteri Belia & Sukan Sabah Phoong Jin Zhe mengesahkan setakat ini tiada atlet Sabah yang menjalani kuarantin mahupun dijangkiti Covid-19.

Beliau berkata, dari segi latihan atlet Sabah masih diteruskan di rumah masing-masing.

Sekiranya atlet tidak mencapai tahap kecergasan yang sepatutnya, pihak kementerian menerusi Majlis Sukan Negeri Sabah akan menilai semula semua penyertaan atlet dan jurulatih yang terlibat.

Katanya, para atlet telah diberikan senarai latihan oleh jurulatih masing-masing untuk mereka terus berlatih bagi mengekalkan tahap fizikal dan kecerdasan atlet sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini berkuatkuasa sehingga 14 April ini.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Phoong berkata,  jurulatih juga boleh memantau atlet menerusi panggilan video (video call) bagi memastikan atlet menjalankan latihan dengan sebaiknya.

Tambahnya, sejak kes Covid-19 dilaporkan di China, kementerian itu memang tidak menggalakkan penyertaan kejohanan atau latihan di luar negara.

Malah, sejak awal lagi semua latihan atau penyertaan kejohanan ke China tidak dibenarkan bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Bagi pasukan yang telah menjalankan latihan atau penyertaan kejohanan di luar negara, mereka telah dinasihatkan untuk menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

Oleh itu, Phoong menasihatkan semua atlet Sabah supaya teruskan latihan di rumah, disiplinkan diri untuk teruskan latihan yang telah diberikan oleh jurulatih masing-masing.

Susulan penangguhan Sukan Malaysia (Sukma) Johor yang dijadualkan pada 11 hingga 19 Julai ini, ia menjejaskan penyertaan seramai 350 hingga 400 atlet Sabah.