Tiada Aktiviti Pelancongan Di Perairan Semporna

Oleh ARDYHANSAH AMAT
SEMPORNA: Tiada aktiviti pelancongan atau riadah dilaporkan berlaku di sekitar perairan daerah ini sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) fasa pertama yang berakhir semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata demikian menerusi kenyataan media, hari ini.

“Selain itu, operasi membabitkan kerjasama antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysis) dan Pasukan Polis Marin (PPM) turut giat dilakukan di sekitar perairan Alur Tando Bulong.

“Sepanjang pemantauan dilakukan, majoriti yang ditemui adalah penduduk setempat dari Pulau Bum Bum yang ingin membeli barangan keperluan di pekan Semporna,” katanya.

Justeru, pihaknya memberi saranan kepada penduduk berkenaan untuk sentiasa patuh kepada arahan MCO selain perlu mengamalkan penjagaan kebersihan termasuk pemakaian alat penutup hidung dan mulut, mencuci tangan dengan sabun serta menjaga jarak sosial.

“Tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang sengaja ingkar MCO dalam usaha memastikan kejayaan memutuskan rantaian penyebaran Covid-19,” katanya.