Tiada Ahli Warisan Kinabatangan Sertai UMNO

159
ISMAIL AYOB

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) Kinabatangan menafikan ada sebahagian ahlinya meninggalkan parti untuk menyertai UMNO Bahagian Kinabatangan.

Ketua Warisan Kinabatangan, Mohd. Ismail Ayob berkata, laporan sebuah akhbar tempatan kononnya ahli-ahli berkenaan telah menyerahkan borang keahlian kepada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin adalah bertujuan menimbulkan kekeliruan.

Katanya, pihaknya telah memeriksa nama individu-individu seperti yang dilaporkan dan mendapati mereka langsung tiada kena mengena dengan Warisan Kinabatangan.

“Saya telah menyelidik latar belakang penama seperti yang dinyatakan di dalam akhbar, untuk makluman penama itu bukannya ahli Warisan dan saya tidak tahu dari mana sumber yang mengatakan dia ahli Warisan sedangkan namanya tidak berdaftar.

“Saya meminta pihak-pihak berkenaan jangan melabel individu-individu yang tidak berkaitan dengan Warisan khususnya di bahagian Kinabatangan sebagai ahli parti, kami kenal ahli-ahli kami dan tidak mungkin mereka berpaling tadah daripada tujuan asal Warisan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keratan akhbar hari ini.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan seorang lelaki dikenali sebagai Waking Ubit yang mendakwa ahli Warisan bersama beberapa ahli parti itu telah menyerahkan borang keahlian kepada Bung ketika beliau melawat kawasan mereka.

Mohd. Ismail berkata, semua ahli Warisan perlu terus menyokong Ketua Menteri merangkap Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan memberi masa kepada beliau mentadbir negeri ke arah pembangunan serta kemajuan yang lebih baik.

Katanya, di peringkat Warisan Bahagian Kinabatangan, beliau akan memastikan fokus utama membangunkan rakyat di kawasan itu terutama di luar bandar tetap diteruskan.

“Misi kami untuk membantu rakyat yang sudah sekian lama terabai terutama di luar bandar, fokus utama adalah membangunkan semula negeri Sabah ini yang ditinggalkan dalam keadaan hutang terlalu banyak dan membebankan kerajaan.

“Sebab itu kami menyokong usaha kerajaan yang ingin memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sabah,” katanya.