Tiada Agenda Tersembunyi Dalam Perubahan Tempoh Lantikan TYT

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri Sabah 2018 yang melibatkan tempoh pelantikan Yang DiPertua Negeri Sabah (TYT) dalam Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri, di sini pada Khamis.

Speaker DUN Datuk Syed Abas Syed Ali mengumumkan keputusan berkaitan pindaan Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sabah itu setelah Dewan memperoleh sokongan 2/3 undian, apabila 46 daripada 65 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bersetuju dengan pindaan itu.

Dengan kelulusan itu, pelantikan Yang DiPertua Negeri Sabah (TYT) tidak lagi dihadkan kepada dua penggal (lapan tahun) seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri sebelum ini. Dibawah pindaan ini, pelantikan TYT Sabah tidak lagi mempunyai had tertentu.

Dalam Perlembagaan Negeri (Pindaan 1987) memperuntukkan had tempoh pelantikan TYT kepada dua penggal atau lapan tahun.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal (gambar) dalam ucapan perbahasannya berkata, pindaan dalam lantikan TYT itu perlu dilakukan kerana sudah sampai waktunya perubahan dilakukan bagi menilai semula kedudukan TYT sebagai ketua negeri.

Tempoh khidmat Tun Juhar Mahiruddin tamat Dis 31, tahun. Perkhidmatan Tun sekarang boleh dilanjutkan.

“Saya tahu banyak tafsiran kemungkinan pindaan membabitkan pelantikan TYT ini sebab TYT dan saya selaku Ketua Menteri mempunyai rundingan. Demi Allah, tiada sebarang rundingan dibuat kerana pelantikan saya memang mengikut lunas undang-undang, iaitu saya memperolehi majoriti yang mencukupi bagi membentuk kerajaan.

“Jika dilihat rentetan sejarah pembentukan kerajaan baharu, pada peringkat awal, saya juga dihalang namun sehingga saya menyatakan saya mempunyai majoriti yang mencukupi barulah saya diterima masuk (Istana) bagi mengangkat sumpah.

“Pelantikan saya sebagai Ketua Menteri bukan atas rundingan, ia berdasarkan majoriti,” katanya.

Menurutnya, pindaan dalam pelantikan TYT ini tepat pada masanya kerana perubahan perlu dilakukan seiring dengan perkembangan persekitaran semasa.

Jawatankuasa Khas yang diketuai oleh bekas Peguam Negeri Steven Foo bagi melihat beberapa perkara dalam perlembagaan yang perlukan pindaan agar selari dengan keadaan semasa.

Katanya, pindaan perlembagaan perlu agar hak-hak negeri dan rakyat di Sabah dan ordinan yang ada dapat diperkukuhkan seiring dengan perubahan persekitaran di negeri dan negara ini.

Mohd Shafie berkata, jika tidak lakukan perubahan, perlindungan tidak dapat dilakukan sebab banyak kepentingan yang perlu dipertahankan demi kebaikan negeri dan rakyat Sabah.

Katanya, dalam pelantikan TYT beliau selaku Ketua Menteri hanya boleh mencadangkan calon TYT, kemudian ia akan dikemukakan kepada Perdana Menteri namun, yang membuat keputusan pelantikan itu adalah Yang DiPertua Agong.

Beliau berkata, sama ada tempoh pelantikan TYT itu dilanjutkan atau tidak, itu tidak bererti TYT akan berkekalan sampai bila-bila. Jika dilihat rentetan sejarah Sabah, banyak sangat tafsiran yang dibuat tentang persoalan hak-hak TYT.

Maka, ketetapan yang jelas perlu diberikan agar kedudukan TYT sebagai ketua negeri tidak lagi dipersoalkan.

“Pelantikan TYT tidak boleh dianggap sama seperti penjawat awam yang mempunyai had perkhidmatan. Tiada yang menunggu untuk mengambil alih jawatan TYT tetapi dalam perkhidmatan awam, ada had umur sehingga 60 tahun kerana ramai kakitangan muda yang perlu berkhidmat.

“Atas sebab itu dalam pelantikan TYT ini kita kena tengok apa asas untuk menghadkan tempoh itu. Bagi kita apa yang penting adalah nilai yang ada terhadap seseorang yang dilantik sebagai TYT yang mana beliau perlu mengetahui tentang perundangan dan polisi kerajaan serta apa yang berlaku disekeliling.

“TYT perlu tahu polisi yang ada dalam kerajaan supaya jika ada masalah besar yang berlaku beliau tahu. Selaku kerajaan pula, kita kena menilai secara terperinci dari segi amalan dan pembawaan diri TYT,” ujarnya.

Mohd Shafie berharap wakil rakyat Sabah memahami asas kepada pindaan perlembagaan ini dan ini bukan satu-satunya perlembagaan yang akan dipinda. Pada masa akan datang banyak lagi pindaan akan dilakukan dalam Perlembagaan Negeri.

Dalam sesi perbahasan rang undang-undang itu, seramai 12 orang Adun mengambil bahagian termasuk yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan pindaan perlembagaan itu.

Semasa undian dilakukan, 14 Adun tidak bersetuju manakala, lima Adun tidak hadir dan mengambil bahagian dalam undian itu.Ia termasuklah Adun Sg Sibuga Tan Sri Musa Aman, Datuk Arifin Mohd Arif (Membakut); Datuk Hajiji Mohd Noor (Sulaman); Datuk Masidi Manjun (Karanaan); dan Datuk Bobbey Suan (Nabawan).