‘The Legend of Ancient Borneo’ Filem Animasi Kadazan Pertama

42

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Yakin industri filem animasi tempatan di Sabah mampu berkembang maju, Geoffrey Sinn bersama kru penerbitannya mengambil langkah setapak ke hadapan menghasilkan filem animasi berasaskan budaya masyarakat Sabah.

Filem animasi ‘The Legend of Ancient Borneo’ dilihat bukan hanya dapat membantu mengetengahkan bakat animasi anak tempatan Sabah tetapi juga, memperkenal budaya masyarakat di Sabah kepada dunia luar.

Penerbit ‘The Legend of Ancient Borneo’, Geoffrey Sinn berkata, anak tempatan dari Sabah mempunyai bakat dan kreativiti tersendiri namun, bakat itu tidak ditunjukkan kepada masyarakat luar.

“Kita mempunyai ramai anak-anak tempatan yang berbakat namun, mereka tidak punya peluang untuk menunjukkan bakat mereka.

“Atas sebab itu, dalam penghasilan filem animasi ini, kami menggunakan hampir sepenuhnya bakat tempatan Sabah. Kami mahu mereka tonjolkan bakat yang ada dalam memastikan pembangunan industri kreatif di Sabah terus berkembang.

“Filem animasi dalam Bahasa Kadazan ini turut mendapat sedikit bantuan daripada artis animasi dari Kuala Lumpur dan komposer dari Kuching,” katanya dalam satu kenyataan, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, filem animasi ini membuktikan anak tempatan Sabah juga cukup berbakat dalam industri filem animasi.

Geoffrey berkata, filem ini salah satu cara terbaik untuk memperkenal dan mempamerkan budaya dan warisan Orang Asal Sabah kepada dunia luar.

“Melalui filem ini, kami berharap dapat mengangkat industri filem animasi Sabah, sekaligus dapat memberi pendedahan mengenai cerita-cerita masyarakat Sabah.

Beliau berkata, filem pendek itu dihasilkan berdasarkan komik yang diterbitkan sendiri oleh Robertson Sondoh Jr dan Kwan Thung Seng.

“Filem ini tidak akan berjaya tanpa ada sumbangan bakat tempatan seperti Rizo Leong, yang cukup terkenal dengan ukiran kayu yang dipamerkan sehingga di Perancis dan Jepun serta Boni Mosios, pelakon utama filem Huminodun, yang juga pencerita dalam filem animasi ini.

Tambahnya, biarpun ada kekangan dari segi peralatan dan masalah kewangan dalam menghasilkan filem pendek itu namun, kerja keras mereka terasa amat berbaloi apabila filem itu terpilih memenangi Cabaran Pereka Harta Intelek (IPCC) yang dianjurkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada September lalu.

”Kami berjaya menewaskan 84 syarikat lain seluruh negara dan membawa pulang hadiah utama iaitu geran IPCC yang berjumlah RM100,000 daripada MDEC. Geran itu akan digunakan bagi menyiapkan penerbitan filem ‘Legend of Ancient Borneo’ dalam tempoh setahun.

Mengenai industri animasi, beliau berkata, industri itu merupakan perniagaan yang menguntungkan kerana sehingga kini industri kreatif dan animasi ini menyumbang sebanyak AS250 bilion dolar dalam pasaran dunia.

“Kami juga percaya negara seperti Jepun, Korea Selatan, China dan Amerika Syarikat memberi penekanan kepada pelaburan dalam industri ini. Industri animasi memerlukan idea dan cerita yang baharu dan ini berita baik untuk kita,” ujarnya.

Beliau berkata, filem animasi pendek itu telah ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa.

“Kami berkongsi kisah asal masyarakat Sabah dengan penonton. Kami merancang untuk menayangkan filem ‘Legend of Ancient Borneo’ ini sempena Hobbycon pada bulan ini,” jelasnya.

Geoffrey bersama kru penerbitannya sedang berusaha membangunkan filem animasi itu ke dalam siaran bersiri televisyen dan berharap ia dapat ditayangkan dalam beberapa saluran TV serta secara online.

Beliau juga berharap Kerajaan Sabah akan menyokong pertumbuhan industri filem animasi ini dengan memberi suntikan kewangan serta membantu mempromosi cerita-cerita masyarakat dengan menjadikannya sebagai produk yang boleh dieksport ke pasaran luar.