Teruskan Penganjuran Aktiviti Agama Demi Kepentingan Akidah

454

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
TELUPID: Penganjuran aktiviti keagamaan walaupun hanya dibuat di peringkat daerah amat penting untuk memupuk akidah umat Islam terutama golongan muda daripada terpengaruh dengan pemikiran songsang yang semakin berleluasa.

Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) kawasan Labuk, Abd. Talip Yahya berkata, sehubungan itu, langkah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jaheins) dan Pejabat PPM daerah itu menganjurkan program bagi menghayati perjuangan Nabi Muhammad SAW perlu diteruskan sampai bila-bila demi kepentingan ummah.

“Di saat umat Islam diserang dengan ideologi pemikiran songsang dan sesat, kita amat memerlukan program penghayatan sunah Nabi Muhammad SAW seperti ini, demi menyelamatkan generasi kita daripada racun yang menyerang Islam dari segenap sudut.

“Justeru, apa yang diharapkan daripada program ini adalah kita dapat menanam rasa segar agar sentiasa berusaha memperbaiki akhlak dan jati diri sebagai seorang Islam supaya dapat menempuh arus kehidupan di dunia yang sementara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Telupid di sini semalam.

Sebanyak tujuh kontinjen mengambil bahagian dalam perarakan sambutan maulidur rasul itu yang bermula seawal pukul 7 pagi dari Dataran Telupid sehingga ke Masjid Yusuf al-Qaradawi.

Selain sambutan maulidur rasul, sehari sebelum itu majlis tilawah al-Quran turut diadakan yang disertai pelajar sekolah di seluruh daerah sebagai peserta.

Abd. Talip berkata, mencintai Baginda adalah pelengkap kepada iman setiap umat Islam, justeru program seperti itu perlu diadakan setiap tahun.

“Mengikut contoh akhlak yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW merupakan satu-satunya cara untuk kita disayangi Allah SWT kerana kita sesungguhnya berharap sentiasa berada di bawah naungan kasih sayang serta pengampunan Allah SWT.

“Amat malang sekali jika ada umat Nabi Muhammad SAW yang mencari tokoh, idola lain untuk dijadikan panduan selain daripada Baginda,” kata Abd. Talip.