Tersilap Buka Puasa Awal Ikut Azan Radio, Perlu Ganti Puasa

KOTA KINABALU: Kesilapan berbuka puasa awal kerana mengikut azan di radio dikehendaki menggantikan semula puasa tersebut kerana ia dikira terbatal.

Mufti Negeri Sabah, Datuk [email protected] Jaafar berkata, puasa mereka yang tersalah berbuka puasa awal kerana mengikut azan di radio adalah dikira terbatal dan mereka wajib menggantikan puasa setelah berakhirnya bulan Ramadan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai insiden siaran azan Maghrib empat minit lebih awal yang berlaku di radio Tawau FM pada hari pertama Ramadan, kelmarin.

Katanya, waktu berbuka puasa adalah bersandarkan kepada terbenamnya matahari berdasarkan nas syarak dan bukannya bersandarkan kepada laungan azan di radio atau seumpamanya serta keadaan langit pada ketika itu.

Walau bagaimanapun, usaha pihak radio menyiarkan azan sebagai tanda masuk waktu dan berbuka merupakan usaha murni yang sangat baik.

“Namun, pihak radio perlu lebih teliti dan cermat dalam perkara ini bagi mengelakkan daripada berulang perbuatan mengumandangkan azan awal dari waktunya pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sepanjang pengetahuannya, insiden siaran azan radio lebih awal itu kali pertama seumpamanya berlaku di Sabah.

Justeru, Bungsu @ Aziz menasihatkan umat Islam supaya sentiasa cermat dan berhati-hati berkaitan waktu berbuka puasa.

Malah, beliau turut menyarankan umat Islam agar merujuk kepada takwim berbuka puasa yang telah dikeluarkan oleh pihak yang berkuasa agama bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

Jelas beliau, diharap dengan penjelasan tersebut ia dapat memberi manfaat kepada umat Islam khususnya mereka yang berada di kawasan yang terlibat, iaitu di Tawau.

Kelmarin, menerusi ruangan Syoknya Hujung Minggu, DJ radio bertugas dilaporkan tersilap menyiarkan azan Maghrib pada jam 6.16 petang iaitu empat minit lebih awal daripada waktu sebenar iaitu pada jam 6.20 petang.

DJ radio berkenaan turut membuat permohonan maaf menerusi laman Facebook miliknya dengan menyatakan insiden itu berlaku kerana kesilapan teknikal dan kesilapan dirinya sendiri.