Terseliuh Buku Lali, Pendaki Wanita Diusung Turun Oleh MOSAR

RANAU: Seorang pendaki wanita berusia 41 tahun yang terseliuh buku lali kaki kiri,
terpaksa diusung turun dari Sayat-Sayat, Gunung Kinabalu ke kaki gunung di Timpohon Gate oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR), pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan dari Taman-Taman Sabah jam 7.50 pagi yang memaklumkan seorang pendaki cedera di kaki dan memerlukan bantuan.

Katanya sepasukan 6 pegawai dan anggota bomba dari BBP Ranau termasuk 4 anggota MOSAR dikerah ke lokasi.

Turut membantu, 3 kakitangan Taman-Taman Sabah dan 2 malim gunung.

“Pasukan MOSAR bersama renjer Taman-Taman Sabah bergegas ke lokasi dan memberikan rawatan awal kepada mangsa dengan menyapu gel sport dan membalut kaki mangsa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Ridwan, pendaki itu dibawa ke Pana Laban dengan kaedah ‘piggy back carry’ dan seterusnya dibawa turun ke kaki gunung di Timpohon Gate dengan menggunakan pengusung ‘Neil Robertson’.

Mangsa di hantar ke Hospital Ranau menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)

Operasi ditamatkan jam 2.50 petang.