Terpedaya Dengan Scammer, Dua Mangsa Rugi RM250,000

KOTA KINABALU: Dua mangsa tampil membuat laporan polis selepas didakwa ditipu seorang lelaki hingga menyebabkan kerugian berjumlah RM250,000.

Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Alvin,31, berkata, dia mengalami kerugian berjumlah RM103,000 kerana terpedaya dengan taktik scammer yang mengajaknya menyertai pelaburan saham secara online.

Beliau berkata, lelaki yang berasal daripada Sarawak yang berusia 39 tahun itu berpindah ke sebelah rumahnya.

“Selepas mengenali lelaki dikenali sebagai Chin selama lebih sebulan, lelaki itu mula mengajak saya untuk menyertai pelaburan secara online,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP Sabah hari ini.

Walau bagaimanapun, scammer itu hanya meminta Alvin memberikan wang secara tunai bagi tujuan pelaburan itu dalam beberapa pertemuan di sekitar pusat bandaraya ini.

Pada awalnya, beliau tidak begitu yakin dengan pelaburan tersebut tetapi, selepas mendengar penjelasan Chin akhirnya beliau terpedaya dan menyerahkan wang dengan nilai keseluruhan RM103,000 bagi tempoh Mac hingga Mei tahun ini.

Laporan polis telah dibuat pada 25 Julai bagi meminta polis menyiasat dan mengesan lelaki yang dipercayai masih bertindak mencari mangsa baharu di sekitar Kota Kinabalu.

Turut menjadi mangsa adalah seorang wanita dikenali sebagai Lily, 27, yang mendakwa diperdaya menerusi ‘Love Scam’ oleh lelaki yang sama dan dikenali melalui aplikasi Tinder.

Lelaki tersebut menggunakan identiti orang lain semasa berkenalan dengan Lily melalui aplikasi tersebut. Perkara ini hanya terbongkar baru-baru ini apabila siasatan dilakukan terhadap lelaki tersebut.

Mangsa kedua ini memberi pinjaman wang kepada Chin melalui transaksi secara online sejak 2019.

Justeru, beliau telah membuat laporan polis pada 19 Julai lalu setelah menyedari dirinya seolah-olah ditipu oleh lelaki berkenaan.

Wanita yang bekerja sebagai jurujual itu berkata, beliau pernah berjumpa secara bersemuka dengan lelaki tersebut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin Zhe meminta pihak polis menjalankan siasatan terhadap kedua-dua kes berkenaan dan menahan suspek terlibat sebelum lebih ramai mangsa terpedaya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika membuat sebarang transaksi kewangan kepada individu yang tidak dikenali.

Tambahnya, setiap minggu pejabatnya menerima tiga hingga empat aduan berkaitan kes penipuan daripada pelbagai kaedah hingga mengakibatkan mangsa terpaksa menanggung kerugian.