Terminal KK Sentral Akan Dimanfaat Sepenuhnya – Arifin Asgali

234
Arifin (tiga kiri) dan Nordin (dua kiri) menyempurnakan operasi pelepasan bas express sempena Maljis Pelancaran Operasi KK Sentral, di sini pada Isnin.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengambil pendekatan untuk mengoptimakan mana-mana bangunan yang telah siap dibina demi memastikan kemudahan prasarana untuk rakyat dimanfaatkan sepenuhnya.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Arifin Asgali berkata, seperti bangunan Terminal KK Sentral yang mula digunakan pada Sabtu lepas, terminal ini dibuka agak lewat disebabkan faktor-faktor tertentu.

“Peralihan kerajaan dan proses mengenalpasti siapa yang sesuai untuk ditempatkan di terminal ini antara faktor yang menyumbang kepada kelewatan terminal ini dibuka kepada orang awam.

“Malah, terdapat beberapa kerosakan dan kecurian yang berlaku di dalam bangunan ini apabila ianya siap pada 2017,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Operasi KK Sentral, di sini pada Isnin.

Menteri bertanggungjawab kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) ini berkata, KK Sentral dibina sebagai salah satu daripada empat terminal bas bersepadu yang dirancang dibawah Pelan Induk Pengangkutan Awam Bandaraya Kota Kinabalu.

Katanya, KK Sentral sepatutnya bertindak sebagai transit untuk menghantar dan mengambil penumpang dari tiga terminal bersepadu lain yang akan dibina iaitu Terminal Bersepadu Kepayan (Selatan); Terminal Bersepadu Inanam (Utara) dan Terminal Bersepadu Penampang (Timur).

Bagaimanapun, pembinaan tiga terminal bersepadu itu masih dalam proses mendapatkan peruntukan kewangan daripada kerajaan.

“Tanah sudah ada, kita hanya menunggu peruntukan kewangan daripada kerajaan. Kita sudah meminta peruntukan dan memaklumkan kepada Ketua Menteri (bulan lalu) dan beliau telah meminta konsultan terlibat untuk menghantar laporan agar perkara itu dapat dibawa kepada perhatian Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan peruntukan,” ujarnya.

Menurutnya, premis dan gerai jualan dalam Terminal KK Sentral itu akan diisi sepenuhnya apabila syarat-syarat ditetapkan dipersetujui oleh penjaja yang akan ditempatkan di situ.

“Kita masih berunding dengan penjaja sekitar Kota Kinabalu da nada beberapa syarat yang perlu dipersetujui bersama. Namun, apabila proses itu selesai, gerai jualan yang ada di sini akan dimanfaatkan sepenuhnya.

“Saya yakin dan percaya ia dapat diselesaikan paling lewat penghujung tahun ini,” jelasnya.

Sementara itu, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Nordin Siman berkata, terminal yang dibina dengan kos berjumlah RM54juta itu akan menempatkan perkhidmatan bas express ke Beaufort, Sipitang, Menumbok, Lawas, Brunei Darussalam.

Nordin (dua kiri) menyampaikan cenderamata kepada Arifin (empat kanan) sambil disaksikan oleh tetamu kehormat lain.

Dengan pembukaan bangunan terminal itu, ia dijangka akan membolehkan DBKK mengutip pendapatan bulanan kira-kira RM110,000 melalui sewa premis jualan dan bayaran tempat letak kenderaan.

Beliau berkata, Terminal KK Sentral serta tiga lagi terminal bersepadu yang akan dibina itu merupakan komponen penting dalam usaha DBKK merancang, menambahbaik dan menyusun semula sistem pengangkutan awam di pusat bandaraya ini agar lebih efisien dan selamat.

Kemudian ditanya mengenai status Sky Bridge yang menghubungkan Api-Api Centre, Pusat Membeli-belah Centre Point dan Kompleks Asia City, Arifin berkata, projek itu sedang diteliti oleh Peguam Besar Negeri Sabah.

“Berikan kerajaan masa dan peluang dalam tempoh dua bulan ini. Kita telah meminta Peguam Besar Negeri untuk menyelesaikan beberapa isu. Kita akan memastikan jejantas itu akan dapat diguna dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini.

“Biarkan jika orang ingin mengata yang bukan-bukan. Kerajaan tidak akan cakap perkara yang kita tidak mampu laksanakan. Biar kami dinilai berdasarkan kerja dan bukan berdasarkan kata-kata,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Pembantu Menteri Kewangan Kenny Chua serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Luyang Tan Lee Fatt.