Terlalu Banyak Laluan Tikus – ESSCOM

HAZANI GHAZALI

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Terlalu banyak.

Demikian ujar Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Hazani Ghazali ketika diminta mengulas laluan tikus yang digunakan pendatang haram untuk keluar dan masuk di negeri ini, di sini, hari ini.

“Misalnya ada laluan tikus dikesan dari Pulau Sebatik, Tawau ke Kalabakan sehingga ke Long Pasia, Sipitang.

“Berdasarkan siasatan yang dilakukan, mereka menggunakan laluan tersebut untuk keluar atau masuk ke Sabah dari Indonesia bagi mengelak dikesan atau dicekup pihak berkuasa,” katanya.

Menurut Hazani, terbaharu, pihaknya mengesan enam individu dari Indonesia yang masuk secara haram ke negeri ini menerusi jalan tikus, di Kalabakan.

“Tindakan mereka itu boleh menyebabkan penularan jangkitan Covid-19.

“Justeru, kami memaklumkan Pejabat Kesihatan untuk mengesan individu terbabit bagi membolehkan ujian saringan Covid-19 dilakukan ke atas mereka,” katanya.

Terdahulu, dalam sidang media sebelum ini, Hazani menjelaskan pihaknya sudah mengusir lebih 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba memasuki Sabah menerusi Kalabakan, awal bulan ini.

Sementara itu, Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau masih lagi mengesan seorang pekerja ladang warga asing bagi menjalani saringan Covid-19, selepas didakwa masuk ke Sabah secara haram, Ahad lalu.

Menurutnya, sebelum ini 10 PATI sudah menjalani ujian yang sama dan dikuarantin di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau.

“Namun, semua keputusan ujian itu adalah negatif dan mereka dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut,” katanya.