Terjemah Pengorbanan Hominodun Cara Berbeza Tahun Ini – Unduk Ngadau

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Tanggal 31 Mei, hari yang sentiasa dinanti-nantikan masyarakat Sabah dimana, acara kemuncak Pesta Kaamatan iaitu Unduk Ngadau diadakan di Hongkod Koisaan, KDCA.

Namun, tahun ini suasanya agak berbeza dan orang ramai tidak berpeluang memilih ‘kuda’ yang dijangka bakal menjadi juara Unduk Ngadau yang baharu.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih berkuatkuasa bagi mengekang penularan wabak pandemik Covid-19 mengubah suasana sambutan acara tradisi Pesta Kaamatan pada tahun ini.

Bagi Unduk Ngadau 2019, Francisca Ester Nain,26, biarpun tiada sambutan Pesta Kaamatan di Hongkod Koisaan, KDCA pada tahun ini namun, semangat Kaamatan masih boleh disemarakkan melalui platform online.

Katanya, semangat pengorbanan Hominodun yang sanggup berkorban demi kesejahteraan orang ramai masih boleh diterjemahkan dalam situasi yang dihadapi sekarang.

“Kita boleh menggunakan mesej pengorbanan dalam sudut berbeza semasa musim PKPB ini. Kita boleh amalkan konsep itu dengan duduk di rumah dan tidak berkumpul beramai-ramai semasa Kaamatan demi membantu memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya ketika dihubungi Borneo Today, di sini hari ini.

Francisca, yang berasal dari Kota Belud ini berkata, langkah untuk tidak meraikan Pesta Kaamatan secara besar-besaran demi kesejahteraan dan keselamatan setiap orang juga merupakan satu pengorbanan.

Beliau berkata, walaupun tidak dapat berkumpul di Hongkod Koisaan, KDCA bagi menyambut Pesta Kaamatan, masyarakat Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) masih boleh berkongsi mesej dan gambar dengan memakai baju tradisi dalam sosial media bagi menyemarakkan semangat Pesta Kaamatan.

Menurutnya, apa yang penting masyarakat KDMR perlu melihat kembali kepada konsep Pesta Kaamatan itu sendiri iaitu melahirkan tanda kesyukuran selepas menuai padi.

“Jadi kita boleh memanfaatkan rasa kesyukuran dalam situasi hari ini dengan duduk di rumah dan bersyukur kerana dapat meluangkan masa bersama keluarga.

“Hari ini saya tidak berpeluang makan bersama-sama dengan keluarga kerana mempunyai urusan lain. Namun, saya masih dapat berkomunikasi dengan ibu bapa dan keluarga saya melalui panggilan video,” ujarnya.

Anak keenam daripada lapan beradik ini berkata, biarpun tiada sambutan Pesta Kaamatan tahun ini namun, mereka masih boleh berkongsi aktiviti Unduk Ngadau melalui rakaman video seperti cabaran menyerahkan mahkota atau Pass Crown Challenge serta aktiviti lain menerusi laman media sosial.

Katanya, rakaman video itu dibuat bagi mengekalkan semangat Unduk Ngadau dalam kalangan masyarakat Sabah.

Menurutnya, disebabkan PKP dan PKPB, kebanyakan aktiviti Unduk Ngadau dibuat secara online termasuk rakaman video dan juga live Facebook.

Francisca berkata, sekiranya tiada pertandingan Unduk Ngadau diadakan pada tahun ini, beliau menganggap ia peluang baginya untuk berkhidmat membantu mempromosikan budaya tradisi masyarakat KDMR.

Beliau yang sedang menuntut dalam bidang Ijazah Sarjana Pengurusan di Kolej SIDMA ini akan mengambil peluang selama setahun ini untuk mendalami lagi budaya tradisi masyarakat KDMR.

“Menerusi pertandingan Unduk Ngadau yang disertai sejak 2017, saya banyak belajar mengenai bahasa dan budaya tradisi masyarakat KDMR. Malah, saya berpeluang mendaki Gunung Kinabalu bersama tiga peserta lain untuk mempromosikan aktiviti pelancongan di Sabah.

“Biarpun di rumah, kami bercakap dalam  bahasa Dusun namun, apabila menyertai Unduk Ngadau baru saya sedar bahawa bahasa Dusun saya belum lancar kerana bahasa yang digunakan di rumah adalah bahasa pasar dan bukannya bahasa Dusun standard. Malah, pengetahuan saya mengenai baju tradisi di setiap daerah juga semakin baik,” ujarnya.

Katanya, sebelum menyertai Unduk Ngadau, beliau tidak mempunyai pengetahuan mengenai budaya KDMR. Namun, penyertaaan dalam Unduk Ngadau membuka matanya untuk melihat dan mendalami budaya KDMR dengan lebih mendalam.

Pengalaman itu membolehkannya membuat tesis mengenai ‘Perkembangan Unduk Ngadau Sabah’ semasa menuntut dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sejarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Berkongsi mengenai aktiviti Unduk Ngadau semasa PKP, Francisca berkata, melalui ‘Kempen RM5’ Persatuan Unduk Ngadau berjaya mengutip dana bagi membantu golongan yang terjejas terutama dalam kalangan masyarakat KDMR.

Katanya, mereka memberi sumbangan wang tunai bagi membolehkan individu terjejas menggunakan wang tersebut untuk memenuhi keperluan harian.

Antara penerima yang dipilih adalah dari kawasan Kota Kinabalu, Kota Belud dan Papar termasuk kepada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berasal dari Sabah.