Terima Rasuah, Pegawai Imigresen Dipenjara 3 Bulan, Denda RM12,000

Tertuduh (baju hitam) diiring keluar dari Mahkmah Khas Rasuah pagi tadi.

KOTA KINABALU: Seorang pegawai imigresen dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM12,000 di Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini atas kesalahan menerima wang suapan.

Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Cassandraella Jalius,27, setelah tertuduh mengaku bersalah bagi dua pertuduhan menerima wang suapan dengan nilai keseluruhan RM3,200.

Untuk pertuduhan pertama, Cassandraella selaku pegawai Imigresen yang bertugas di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 didakwa menerima wang sebanyak RM1,000 daripada seorang lelaki melalui akaun bank miliknya pada 7 Disember 2019 di CIMB Bank, Ranau.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menerima wang berjumlah RM2,200 daripada individu yang sama melalui akaun bank milik tertuduh pada 30 Disember 2019 juga di lokasi yang sama.

Mahkamah telah merekodkan pengakuan bersalah daripada tertuduh pada 10 Mei lalu bagi dua pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan pengakuan bersalah itu diterima oleh mahkamah.

Di bawah Seksyen 165, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM6,000 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal membayar denda boleh dipenjara enam bulan.

Kes berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nartiah F. Mirchelle Sambatan dan tertuduh diwakili peguam, Farzwin Haxdy.

-TAMAT-