‘Terima Kasih Penyokong Sabah’ – Kurniawan

KOTA KINABALU: Pengendali Sabah musim ini, Kurniawan Dwi Yulianto mengucapkan terima kasih kepada semua ‘keluarga besar’ Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) termasuk penyokong pasukan itu kerana menerima kehadirannya dengan baik sebelum ini.

Bekas penyerang sensasi Indonesia itu turut meminta maaf sekiranya beliau tidak dapat memberikan hasil seperti diharapkan semua penyokong.

“Saya ucapkan banyak-banyak terima kasih kepada semua penyokong, pemain dan semua pihak uang telah menerima saya dengan sangat baik selama saya berada di sini…mereka semua sudah menjadi seperti keluarga saya di Sabah.

“Saya juga minta maaf yang sebesar-besarnya kalau belum bisa memberi hasil sesuai dengan ekspektasi dari semua penyokong.

“Minta maaf kalau ada salah, baik disengaja mahupun tidak sengaja, dari dalam hari saya yang paling dalam, saya mendoakan agar Sabah bisa sukses selalu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kurniawan sebelum ini dilantik oleh SAFA sebagai ketua jurulatih skuad utama Sabah bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.

Beliau menggantikan Jelius Ating yang membawa kejuaraan Liga Perdana buat skuad itu musim lalu berikutan ketiadaan lesen pro A Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang tidak membolehkan Jelius mengendalikan pasukan di saingan Liga Super.

Sejak Kurniawan mengambil-alih, beliau menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran termasuk persiapan pasukan yang sangat terjejas berikutan penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu juga mengakibatkan Liga Super terpaksa dibuat secara satu pusingan saja dan Sabah juga terpaksa memberi kemenangan percuma kepada UiTM FC dalam aksi terakhir selepas tidak dibenarkan terbang ke Shah Alam untuk bermain pada perlawanan itu oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Nasib malang juga menimpa skuad kendalian Kurniawan apabila tidak dapat bermain dalam saingan Piala Malaysia walaupun kejohanan tertua negara itu dibatalkan hanya selepas beberapa perlawanan.