Teresa Bertugas Seperti Biasa Hadir Acara Kementerian Di Sabah

KOTA KINABALU: Di sebalik spekulasi perubahan Kerajaan Persekutuan, Menteri Industri Utama Teresa Kok meneruskan tugasnya menghadiri dua acara kementerian itu di negeri ini, hari ini.

Beliau, yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP, menghadiri mesyuarat bersama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah di sini, pagi ini.

Petang ini, beliau dijadual merasmikan Pusat Timbang Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) Daerah Kota Marudu Berhad di Dewan Komuniti Kota Marudu dekat sini.

Ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Teresa berkata beliau masih menteri dan sepanjang hari ini berada di Sabah.

“Kita tumpu acara ini (mesyuarat), jangan risau biar mereka urus sebarang perkara yang perlu mereka buat,” katanya.

Beliau berada di negeri ini sejak Sabtu lepas bagi menghadiri program anjuran kementerian itu di Tawau, Kota Kinabalu dan Kota Marudu.