Terapkan Pendidikan Alam Sekitar Secara Formal Kepada Pelajar

Oleh AZIS KHAN
PAPAR: Generasi muda perlu diterapkan dengan pendidikan alam sekitar secara formal khususnya kepada anak-anak yang masih berada di bangku sekolah.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah, Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata golongan itu perlu diberikan pengetahuan tentang kepentingan penjagaan alam sekitar bagi memperkasakan lagi dasar-dasar berkaitan, pada masa akan datang.

“Pendedahan awal seperti ini sememangnya berbaloi memandangkan generasi muda sekarang akan mewarisi kehidupan pada masa akan datang.

“Dan merekalah yang menjadi harapan untuk meneruskan serta memperkasakan lagi dasar-dasar pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar pada dekad seterusnya,” katanya.

Jo-Anna berkata demikian ketika berucap bagi menyempurnakan perasmian program Santai Wirawati bersama beliau di Bukit Kinandukan dan Pantai Telinting, di sini, pada Ahad lalu.

Program itu melibatkan aktiviti pembersihan dan penanaman anak pokok di sekitar Pantai Telinting, pertandingan mengutip sampah serta perkongsian ilmu bagi memberikan kesedaran kepada pelajar dan belia mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

Mengulas mengenai program terbabit, Jo-Anna berkata usaha berkaitan menyayangi, melindungi, memelihara dan memulihara hutan dan alam sekitar hendaklah terus diperbanyak dan diperhebatkan.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berbangga kerana kerajaan sering menitikberatkan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan hujan khatulistiwa kita.

“Kabinet sebelum ini dilaporkan telah mempersetujui untuk Rang Undang-Undang Akta (EECA) dibentangkan di Parlimen akhir tahun ini menunjukkan komitmen Malaysia dalam menangani gangguan ekologi.

“Kerjasama dengan negara-negara jiran bagi mengatasi kebakaran hutan yang boleh menyebabkan jerebu rentas sempadan dan fenomena perubahan iklim perlu ditingkatkan.

“Setiap negara harus meletakkan iltizam untuk mengkoordinasikan usaha ke arah mencapai penyelesaian tuntas demi kebaikan bersama,” katanya.

Beliau turut menasihati para pelajar, khususnya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) agar menjaga kesihatan mereka.

“Walaupun keadaan berjerebu beransur-ansur pulih bukan alasan untuk tidak menjaga kesihatan diri.

“Sehubungan itu, saya akan mengucapkan selamat berjaya kepada semua pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting ini,” katanya.

Terdahulu, ketua penganjur Pegawai Kemajuan Masyarakat Pantai Manis merangkap Ketua Wirawati Bahagian Papar, Roslizah Ibrahim berkata, program itu dianjurkan oleh Pertubuhan Kami Peduli Marhaen Sabah dengan kerjasama Wirawati Papar.

“Menerusi program ini pelajar, belia dan orang awam diberikan kesedaran mengenai kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar, kebersihan pantai dan juga kesejahteraan komuniti dalam kehidupan seharian.

“Program ini juga pertama kali diadakan oleh Pertubuhan Kami Peduli Marhaen Sabah melibatkan Setiausaha Politik Menteri Kewangan Negeri bersama pelajar, belia, beliawanis serta orang awam,” katanya.

Kira-kira 465 orang, termasuk pelajar sekolah dan persatuan belia di sekitar Papar menyertai program tersebut.

Turut diadakan sepanjang acara itu adalah pendakian Bukit Kinandukan, perlawanan persahabatan bola tampar pantai dan sukaneka.