Terap Nilai Intergriti, Bendung Plagiarisme – NC UMS

KAMARUDIN

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memandang serius isu kecurangan akademik berkaitan dengan plagiarisme dalam kalangan ahli akademik dan pelajar.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, ahli akademik dan pelajar UMS telah sedia maklum akan peraturan dan garis panduan mengenai kecurangan akademik tersebut yang telah dititikberatkan sejak dahulu.

“Perkara pokok dalam isu ini adalah berkaitan dengan soal integriti. Ia dikaitan dengan satu bentuk jenayah yang boleh mencemar integriti ahli akademik dan pelajar secara keseluruhannya.

“Tindakan sebegitu juga boleh mencemarkan imej universiti jika tidak ditangani secara telus dan adil,” katanya dalam satu kenyataan berhubung amalan plagiarisme yang berlaku di institusi pengajian tinggi.

Kamarudin berkata, UMS mempunyai mekanisme dalaman dalam mengatasi hal ini yang mana prosedur operasi standard akan segera dilaksanakan jika perkara ini berlaku.

Malah di UMS, proses memperkukuhkan ekosistem berkaitan kawalan integriti adalah satu proses yang berterusan.

“Usaha ini telah diperkukuhkan menerusi penekanan kepada nilai Integriti yang merupakan salah satu daripada lima nilai utama dalam memacu kecemerlangan UMS.

“Manifestasi UMS dalam hal integriti ini juga tampak jelas dengan penubuhan Pejabat Penasihat Undang-Undang (PPUU) UMS yang juga mengambilberat akan kes-kes plagiarisme ini.

“Jika terdapat laporan mengenai hal seumpama ini, maka pejabat ini boleh berperanan sebagai badan berautoriti untuk mempastikan kecurangan akademik seperti plagiarisme ini dapat segera disiasat dan diadili sewajarnya,” jelasnya.

Amnya plagiarisme ialah perbuatan mencedok kata-kata, idea atau karya orang lain tanpa persetujuan penulis asal.

Dalam konteks institusi pengajian tinggi, ia juga merujuk kepada aktiviti penulisan ilmiah seperti penulisan tesis atau artikel jurnal dengan mengguna pakai hasil kerja pihak lain sebagai hasil kerja sendiri tanpa persetujuan, pengetahuan atau pengiktirafan mereka.