Tepuk Dada Tanya Selera, Parti Cinta Sabah Antara Madu Dan Racun

ULASAN: Setelah senyap seketika, tiba-tiba dua lagi buah parti diterima dengan rasmi untuk menjadi ahli komponen pembangkang Gabungan Sabah yang juga dikenali sebagai United Sabah Alliance (USA).

Gabungan Sabah sekarang sah dianggotai oleh lima parti tempatan.

Perkembangan ini selari dengan apa yang ditekankan dalam kenyataan presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Wilfred Bumburing baru-baru ini bahawa semua parti-parti pembangkang perlu bergabung sebagai satu barisan yang mantap untuk berhadapan dengan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang ini.

Wilfred Bumburing

Dalam kenyataan itu,beliau juga mengakui lajakan atau momentum Parti Warisan Sabah boleh disifatkan sebagai “satu tsunami politik”.

Apa yang menjadi topik perbincangan di kalangan pemerhati politik tempatan adalah kenyataan Wilfred di mana beliau meminta ketua-ketua parti pembangkang yang telah bekerjasama atau masih bersekongkol dengan individu-individu tertentu dalam BN, atas alasan memperjuangkan hak-hak Sabah seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta hal-hal berkaitan, mereka hendaklah menghentikan perbuatan itu dan memisahkan diri mereka dari pemimpin-pemimpin BN.

Di sini, jelas kelihatan Wilfred memberi peringatan secara terbuka kapada Jeffrey Kitingan dan Yong Teck Lee yang dikatakan rapat dengan Menteri Luar, Anifah Aman melalui hubungan mereka dalam badan bukan kerjaan (NGO) MySabah. Badan NGO ini dilaporkan berjuang untuk mendapatkan 40% pendapatan yang sepatutnya diberikan kepada Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta menuntut hak-hak lain.

Yong Teck Lee, kiri, dan Jeffrey Kitingan mengetuai SAPP dan STAR masing-masing dan bermain peranan penting dalam Gabungan.

Kenyataan Wilfred menunjukkan tidak ada kepercayaan penuh di kalangan parti-parti komponen Gabungan Sabah dan perpaduan mereka boleh dipertikaikan.

Bagaimanapun, keadaan ini terkawal mungkin disebabkan oleh keupayaan pengerusi mereka, Mohd Noor Mansoor, seorang ahli politik veteran yang pernah menjadi Menteri Kewangan di bawah kerajaan Berjaya dahulu. Tidak boleh dinafikan, keadaan ini tidak mudah diselesaikan demi menjaga kesejahteraan dan memastikan kepentingan semua pihak tidak terjejas dalam gabungan ini.

Mohd Noor menafikan bahawa PCS akan keluar dari USA walaupun perkara itu sering menjadi bahan percakapan di kalangan awam.

Bagi pemerhati politik, satu kelebihan andainya PCS bekerjasama dengan Warisan ialah apa-apa masalah berkaitan dengan pengagihan kerusi dapat dikurangkan kerana ia hanya perlu berunding dengan satu parti sahaja, berbanding dengan Gabungan Sabah di mana PCS terpaksa berhadapan dengan empat parti yang lain.

Soal samada USA akan bekerjasama dengan Warisan, Mohd Noor berkata belum lagi ada usaha ke arah itu dan Warisan juga masih membisu walaupun bahasa badan antara mereka dilihat mesra.

Masih ada harapan untuk bekerjasama dengan Warisan, bergantung kepada situasi, dan USA mengambil pendekatan tunggu dan lihat, katanya.

Pada penutupan program Jelajah Warisan di Penampang Sabtu lepas, presiden Warisan, Shafie Apdal memperakui kehadiran delegasi dari DAP, PKR dan juga PCS. Adakah ini menggambarkan wujudnya satu lagi gabungan pembangkang? Dalam dunia politik Sabah yang cukup aneh, ia bukan satu perkara yang mustahil dan tidak menghairankan sama sekali.

Di Kg Nambazan, Penampang baru-baru ini, Warisan menerima lebih 7,500 borang untuk menjadi ahli parti.

Hakikatnya, perkembangan Warisan mempunyai momentum berbanding lain-lain parti pembangkang. Bahawa Wilfred sendiri menyifatkannya sebagai “satu tsunami politik” adalah penghayatan kepada apa yang sebenarnya berlaku.

Pihak UMNO-BN pun sudah merasai dan menyedari tentangan hebat dari Warisan. Sehinggalah mereka mengambil langkah tangkisan dalam bentuk ceramah dan kempen melalui parti-parti dan NGO yang sehaluan dengan mereka untuk mendedahkan “Siapa Shafie Apdal yang sebenarnya dan risiko mengundi pembangkang”.

Ceramah pertama dibuat di Kampung Gaulan di Keningau baru-baru ini. Ini semua dilakukan secara senyap-senyap kerana takut kemungkinan provokasi dari pihak-pihak tertentu yang akan cuba menghentikan usaha mereka.

Menurut Ketua Pakatan NGO Pro BN, mereka akan teruskan ceramah-ceramah tersebut sehingga pilihan raya ke-14 kelak.

Gabungan Sabah salah anggap sekiranya ia fikir mereka juru kemudi bagi pihak pembangkang di Sabah.

Mereka tidak mempunyai pengaruh langsung di Pantai Timur Sabah dan ini adalah satu kelemahan besar jika mereka mempunyai impian untuk memerintah Sabah. Mereka tidak boleh hanya menang di Likas, Bingkor, Tamparuli dan Klias sahaja dan fikir bahawa sudah mencukupi untuk mengambil alih kuasa dari BN. Itu bukan kenyataan tetapi impian semata-mata.

Mereka perlu realistik. Parti Warisan tidak akan mendekati mereka. Shafie di Penampang telah mengatakan bukan Warisan tidak mahu bekerjasama, tetapi dia tahu siapa dalam Gabungan Sabah yang boleh diharap dan siapa yang tidak, berdasarkan pengalaman beliau ketika masih dalam BN dahulu. Jadi Gabungan Sabah terpaksa merendahkan diri jika ingin bekerjasama.

Bagi Parti Cinta Sabah pula, ada baiknya mereka berfikir sedalam-dalamnya untuk mencari jalan terbaik bukan sahaja bagi parti mereka tetapi demi rakyat Sabah.