Tentera Laut Kendali Operasi Kapal Auksiliari Tun Azizan Di Sandakan

SANDAKAN: Pengoperasian Kapal Auksiliari Tun Azizan (KA TAZ), pangkalan laut mudah alih di perairan timur negeri ini, kini di bawah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sejak beroperasi Julai 2015, pengoperasian kapal itu di bawah Malaysian International Shipping Corporation (MISC) menerusi lantikan pegawai pemerintah kapal itu yang diserap sebagai Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM).

Kapal Auksiliari Tun Azizan

Pegawai pemerintah TLDM pertama kapal itu adalah Komander Mohamad Hafiz Faisal yang mengambil alih daripada Komander Mohd Nazri Sharif PSSTLDM menerusi majlis serah terima tugas di Markas Pangkalan Operasi Hadapan Sandakan di sini, hari Selasa.

Ia disaksikan Timbalan Panglima Armada Timur Laksamana Pertama Saifudin Kamarudin.

Menerusi siaran akhbar sempena majlis itu, Pegawai Perhubungan Awam KA TAZ Leftenan Nik Azrol Hizham Nik Kub berkata penyerahan tugas pengoperasian kapal itu merupakan kesinambungan pengwujudan pangkalan laut cetusan inovasi Strategi Lautan Biru Kebangsaan.

Nik Azrol Hizham berkata ia menerusi kerjasama swasta khususnya Petronas yang telah menaja sebuah pelantar dan kapal dijadikan pangkalan laut bagi membendung insiden penculikan serta pencerobohan di perairan timur Sabah.

Menurutnya kerjasama antara TLDM dan MISC telah mewujudkan satu inovasi baharu aspek pengoperasian TLDM dan secara tidak langsung meningkatkan aspek pengawasan keselamatan maritim melalui KA TAZ.

Uniknya, KA TAZ telah ditambah baik mengikut spesifikasi dan keupayaan TLDM untuk diatur gerak bagi tujuan pengoperasian dan pertahanan negara, katanya.

Beliau berkata sejak KA TAZ ditempatkan di sempadan perairan negara didapati kegiatan perikanan oleh bot nelayan meningkat dan memberikan impak positif kepada masyarakat komuniti maritim memperoleh pendapatan sebagai nelayan.

Nik Azrol Hizham berkata kapal dagang turut bersauh berdekatan KA TAZ sementara menunggu masuk ke pelabuhan disebabkan keselamatan terjamin apabila berdekatan dengan KA TAZ.

Menurutnya kehadiran KA TAZ sepanjang melaksanakan tugasan dan pengoperasian telah memberi satu matlamat dalam menjaga kedaulatan maritim dan memperkasa keselamatan negara.