Tentera Darat Rai Dua Pegawai Kanan Yang Akan Bersara

KOTA KINABALU: Dua Pegawai Kanan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang bakal bersara tahun hadapan diraikan pada maljis Perbarisan Penghargaan di Padang Kawad 6 Rejimen Artileri Diraja (6 RAD), Kem Lok Kawi, di sini hari ini.

Perbarisan penghargaan bagi Mejar Jeneral Datuk Zulkapri Rahamat dan Mejar Jeneral Datuk Mohd Anuar Rijaludin yang dijalankan dengan istiadat ketenteraan disaksikan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

Zulkapri bakal menamatkan perkhidmatan selama 41 tahun dalam TDM pada 20 Mac 2020 dan beliau merupakan bekas Panglima Angkatan Petugas 450 (Task Force 450) yang kini dikenali sebagai 5 Divisyen.

Beliau merupakan seorang pegawai dari Kor Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang ditauliahkan pada bulan Julai 1978 dan memulakan karier sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-19 RAMD di Kedah.

Jawatan terakhir beliau sebelum menamatkan perkhidmatan adalah sebagai Ketua Staf di Markas Angkatan Bersama (MKAB).

Sepanjang perkhidmatan, antara jawatan penting yang lain yang pernah disandang beliau adalah Pegawai Memerintah Batalion Ke-24 RAMD yang ketika itu berpangkalan di Sabah, Komandan Pusat Latihan Askar Wataniah (PUSWATAN), Ketua Staf Markas 3 Divisyen, Pengarah Pengurusan Latihan di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Port Dickson, Panglima 6 Briged yang berpangkalan di Sungai Petani, Kedah dan Panglima 9 Briged yang berpangkalan di Sibu, Sarawak.

Mohd Anuar pula bakal menamatkan perkhidmatan beliau selama 42 tahun dalam TDM pada 25 Mac 2020.

Permulaan kerjaya, beliau juga merupakan pegawai yang telah ditauliahkan ke dalam kor RAMD pada bulan Januari 1978 dan memulakan khidmat sebagai Ketua Platun di Batalion Ke24 RAMD di Terengganu.

Jawatan terakhir beliau adalah sebagai Asisten Panglima Pasukan Simpanan (APPS) dan telah menjawat beberapa jawatan penting sebelum ini iaitu sebagai Pegawai Memerintah Batalion Ke-23 RAMD, Pengarah Sumber Manusia di Cawangan Sumber Manusia dan Ketua Pengarah Pembangunan di Cawangan Perancangan dan Pembangunan, Markas Tentera Darat, Komandan di Institut Pengurusan Tentera Darat serta pernah mengikuti misi ONUMOZ (United Nations Operations in Mozambique) di Mozambique, Afrika.