Tenghilan Dilanda Banjir

TENGHILAN: Hujan lebat tanpa henti sejak 1 pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di Tenghilan dinaiki air.

Bagaimanapun tiada penduduk dipindahkan.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam satu kenyataan hari ini berkata kawasan dilanda banjir adalah Pekan Tenghilan serta 6 kampung iaitu Kampung Bunga, Kampung Suang Bangau, Paruh, Bundung, Tinuhan serta Saradan Laut.

Banjir turut menyebabkan Jambatan Lama Tamparuli tidak dapat dilalui kenderaan.

Manakala berlaku hakisan tebing sungai di Jambatan Wokok Kampung Kauluan,

Satu kejadian tanah mendap turut dilaporkan di Kampung Tinuhan, Tenghilan yang menyebabkan sebuah rumah roboh.

10 penghuninya telah berpindah ke rumah keluarga di Kampung Nuga Lapasan, Tenghilan.

Bagaimanapun menurut jurucakap itu, keadaan banjir semakin pulih dan paras air Sungai Tuaran juga semakin surut.

Paras air Sungai Tuaran adalah 3.045 meter jam 6 pagi tadi dan surut kepada 2.615 meter jam 3 petang tadi.

Pemantauan banjir di Tenghilan dan kawasan sekitarnya diteruskan pihak berkuasa termasuk APM dan pemimpin setempat.

Sementara itu di Kampung Lentigi, Kota Belud, 11 penduduk dipindahkan ke rumah saudara mara dengan menggunakan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, pagi tadi selepas rumah mereka dinaiki air.

Manakala di Kampung Lingkodon, Kota Belud, seorang lelaki dihantar ke Hospital Kota Belud oleh bomba setelah rumahnya ditenggelami banjir, pagi tadi.