Tender Pelabuhan Labuan: LLPM Buat Laporan Kepada SPRM

Ghani (tengah), Zaid (kiri) dan Kaslih.

LABUAN: Operator Pelabuhan Labuan Liberty, Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaan konspirasi dalam proses membuat keputusan tender di pelabuhan kontena tersebut.

LLPM juga membuat laporan mengenai keputusan tender yang bocor yang belum diumumkan secara rasmi oleh Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA).

Laporan tersebut bertujuan untuk siasatan menyeluruh oleh SPRM.

Menurut laporan Bernama, Pengurus Besar LLPM, Abd Ghani Paijan, berkata pihaknya tidak menunding jari kepada mana-mana pihak tetapi hanya mahu siasatan secara adil dijalankan oleh SPRM.

“Keputusan tender yang bocor yang telah tular susulan laporan oleh sebuah akhbar tempatan pada Sabtu lalu telah mencetuskan kekeliruan dan panik yang tidak wajar kepada kakitangan pengurusan, pelanggan dan penguna pelabuhan,” katanya kepada pemberita di luar pejabat SPRM di Kompleks Ujana Kewangan Labuan di sini.

Beliau berkata laporan berita mengenai dakwaan kebocoran keputusan tender dan bukti dakwaan konspirasi telah diserahkan kepada Pengarah SPRM Labuan, PPj Mohd Yusizzudin Mohd Yusof.

Ghani diiringi oleh Pengarah Korporat LLPM, Zaid Zain dan Pengurusan Keselamatan, Kasli Sulaiman semasa membuat laporan tersebut.

Sementara itu, LPA dalam kenyataan hari ini, menafikan bahawa sebarang keputusan telah dibuat mengenai pengendali baharu pelabuhan tersebut.

“Sebarang kenyataan yang tidak berasas hanya akan menjejaskan proses pemilihan operator Labuan Liberty Wharf yang baharu,” katanya.

Pengerusi LPA, Chan Foong Hin memberitahu Bernama bahawa sebarang keputusan akan dibuat oleh Lembaga LPA.

“Laporan berita itu adalah pramatang. Mereka tidak pernah semak dengan LPA. Sehingga ini, kami tidak membuat sebarang pengumuman rasmi kerana beberapa ‘langkah’ yang diperlukan belum dimuktamadkan.

“Oleh itu, bagaimana, anda tahu pengendali yang dipilih tidak sama sekali tidak berkaitan dengan Labuan,”​​​​​​​ tanya beliau.