Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, bagaimanapun jika keputusan ujian masih positif, individu tersebut perlu melengkapkan tempoh pengasingan tujuh tujuh hari.
“Kes positif COVID-19 perlu menjalani pengasingan selama tujuh 7 hari dari tarikh sampel positif diambil.
“Individu boleh dilepaskan daripada pengasingan bermula pada hari ke-4 sekiranya telah disahkan negatif menerusi ujian RTK Antigen yang diselia oleh pengamal perubatan.
“Walau bagaimanapun, sekiranya masih positif, individu tersebut perlu melengkapkan tempoh pengasingan 7 hari.
Menurut Khairy, ujian tersebut hendaklah dilakukan menggunakan RTK-antigen
kendiri dengan penyeliaan oleh pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), sama ada secara fizikal ataupun secara maya (virtual).
Keputusan ujian tersebut hendaklah dimasukkan ke dalam sistem eCOVID oleh pengamal perubatan bagi memastikan integrasi data dengan aplikasi MySejahtera dapat dilakukan dalam tempoh kurang daripada 1 jam, agar individu tersebut segera mendapat perintah pelepasan daripada pengasingan apabila keputusan ujian pengesanan tersebut negatif COVID-19.
Katanya, sekiranya individu tidak memilih untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19, maka pelepasan akan diberikan secara automatik setelah menjalani pengasingan selama 7 hari, katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya hari ini.
Dalam sidang media itu, Khairy turut mengumumkan kemasukan individu ke mana-mana premis adalah dibenarkan tanpa
mengira status vaksinasi mereka.
“Individu yang tidak dibenarkan masuk ke premis adalah individu positif COVID-19 walaupun mempunyai status vaksinasi lengkap, individu dalam tempoh Perintah Pengawasan dan Pemantauan (HSO) termasuk pengembara tanpa vaksinasi lengkap yang baru tiba di Malaysia,” katanya.
Menurut Khairy lagi, keperluan pengujian pengesanan COVID-19 sebelum berlepas ke Malaysia dan pengujian COVID-19 semasa ketibaan, digugurkan bagi kumpulan pengembara berusia 13 tahun dan ke atas yang telah lengkap vaksinasi, pengembara yang mempunyai sejarah jangkitan COVID-19 dalam tempoh 6 ke 60 hari dari tarikh sembuh sebelum berlepas ke Malaysia serta
pengembara berusia 12 tahun dan ke bawah tanpa mengira status vaksinasi.
Bagaimanapun katanya, pengembara dengan status vaksinasi tidak lengkap
atau belum menerima vaksinasi perlu melakukan ujian pra-pelepasan (RT-PCR atau RTK-Ag Professional) 2 hari sebelum berlepas ke Malaysia, menjalani ujian pengesanan COVID-19 dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan menggunakan RTK antigen dengan penyeliaan pengamal perubatan swasta sama ada secara fizikal atau maya, menjalani kuarantin wajib selama 5 hari di tempat penginapan termasuk rumah; dan dikehendaki menjalani RT-PCR pada hari keempat atau RTK-Ag professional pada hari kelima.
Khairy berkata pengembara yang dikesan bergejala semasa berada di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Negara akan diarahkan menjalani ujian saringan COVID-19 menggunakan RTK antigen (Ag)professional.
“Polisi yang sama akan digunapakai bagi semua kategori pengembara termasuk Umrah, Haji dan pekerja asing.
“Bagi pengembara Umrah dan Haji, mereka dikehendaki mendapatkan vaksinasi dos penggalak sebelum berlepas ke Tanah Suci,” katanya.
Menurut Khairy, semua pengembara masih perlu mengemukakan Traveller’s Card yang dipaparkan di dalam aplikasi MySejahtera semasa ketibaan di PMA.
Katanya lagi, insurans COVID-19 bagi pengembara bukan warganegara Malaysia
tidak lagi menjadi pra-syarat kemasukan ke Malaysia.