Tempat Duduk Penumpang Bertindih, Apa Penjelasan Syarikat Penerbangan?

RINA JAINAL

KOTA KINABALU: Satu demi satu isu membabitkan syarikat penerbangan berlaku semasa musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Bukan sekadar harga tiket penerbangan mahal, jadual penerbangan lewat malah difahamkan berlaku pertindihan tempat duduk penumpang bagi penerbangan yang sama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal berkata, beliau menerima perkongsian mengenai isu pertindihan tempat duduk dalam pesawat bagi penerbangan yang sama untuk penerbangan daripada Tawau.

Berdasarkan perkongisan orang ramai, ada penumpang yang berkongsi tempat duduk yang sama sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penumpang. Difahamkan ada tiket penerbangan yang terpaksa dibatalkan susulan keadaan yang kucar kacir ini.

Beliau berkata, ada dalam kalangan penumpang membuat pembelian awal termasuk membeli tempat duduk namun, apabila melakukan daftar masuk tempat duduk yang sudah dibeli milik individu lain.

Situasi itu menyebabkan penumpang tersebut tidak boleh menaiki penerbangan berkenaan.

Jelasnya, situasi pertindihan tempat duduk memerlukan syarikat penerbangan tampil memberi penjelasan.

“Situasi rakyat Sabah berdepan masalah penerbangan berlaku secara berterusan. Campur tangan kerajaan dan Kementerian Pengangkutan perlu bagi mengatasi masalah sebegini daripada terus berlaku,” katanya dalam laman Facebooknya.