Tekong Lolos, Bot Dan 1,680 Tin Minuman Keras Disita Maritim Labuan

LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Labuan merampas 1,680 tin minuman keras yang disyaki cuba diseludup keluar dari Labuan ke tanah besar Sabah, awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam rondaan Op Sejahtera dan Op Khas Kuda Laut telah mengesan sebuah bot yang bergerak dari arah Labuan menuju ke tanah besar Sabah dalam keadaan mencurigakan, kira-kira 1.00 pagi.

Ketika hendak diperiksa, bot terbabit terus memecut laju menuju ke kawasan
paya bakau di pesisiran Mempakul, Sabah.

“Pencarian di sekitar kawasan berkenaan menemukan sebuah bot gentian kaca
yang ditinggalkan beserta 1,680 tin minuman keras yang dipercayai ingin dibawa
keluar tanpa cukai daripada Jabatan Kastam Di Raja Malaysia.

“Bot dan muatan berkenaan disita dan dibawa ke jeti Zon Maritim Labuan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kaganya usaha mengesan tekong bot yang melarikan diri, sedang dilakukan.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi
Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan
mengambil tindakan undang-undang ke atas sebarang salahlaku jenayah di laut,” katanya.