Teka Teki Menteri Kesihatan Baharu Dijawab Jumaat ini

252

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal akan mengumumkan pengganti yang akan dilantik bagi mengisi kekosongan porfolio Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat pada Jumaat.

Beliau berkata, beliau akan mengumumkan perlantikan menteri berkenaan yang kosong setelah penyandangnya mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt,65, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Shafie mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai yang hadir.

“Saya akan membuat pengumuman mengenai perlantikan itu. Mungkin saya akan umumkan perkara itu esok,” katanya ketika ditanya mengenai perlantikan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat yang baharu setelah selesainya Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan pada 11 Mei.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa kunjungan mesra Ketua Menteri Sabah ke Bazar Ramadan Lintasan Deasoka dan Majlis Pengagihan Bubur Lambuk, di sini pada Khamis.

Shafie beramah mesra dengan orang ramai yang hadir dalam program itu.

Dalam PRK Parlimen Sandakan, calon DAP Vivian Wong Shir Yee iaitu anak kepada mendiang Stephen memperolehi 16,012 undi dan menang dengan majoriti 11,521 undi menewaskan pencabar terdekatnya calon PBS Datin Linda Tsen Thau Lin yang memperolehi 4,491 undi dan tiga calon bebas lain.

Mohd Shafie mengesahkan tiada rombakan Kabinet Negeri akan dilakukan sebaliknya hanya akan mengisi kekosongan portfolio Menteri Kesihatan & Kesejahteraan Rakyat berkenaan.