Tawfiq Adalah Pemimpin Contoh Yang Terus Bekerja Dan Berkhidmat

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah menyifatkan Allahyarham Tawfiq Haji Abu Bakar Titingan, sebagai pemimpin contoh yang terus bekerja dan berkhidmat kepada rakyat walaupun dalam keadaan uzur serta terus turun padang menyantuni rakyat sehingga ke akhir hayatnya.

“Kita berasa amat sedih dan terkesan dengan pemergian Allahyarham,” kata Musa Hj Aman dalam satu kenyataan pada Khamis.

“Seorang sahabat, seorang insan yang mulia dan baik hati, seorang pemimpin dan Jemaah Menteri yang amat dedikasi, rajin, proaktif, bertanggungjawab, ikhlas, sentiasa bekerja keras, yang sentiasa ingat amanah dan janjinya kepada rakyat.

TAWFIQ ABU BAKAR

“Pastinya ini satu kehilangan yang amat dirasai bukan sahaja oleh rakyat di kawasan beliau, di Tawau tetapi juga bagi kami dalam Jemaah Menteri dan UMNO, juga kepada seluruh rakyat Sabah.

“Dengan rasa sedih yang amat mendalam, kita semua, Kerajaan Negeri dan rakyat Sabah, juga bagi pihak UMNO dan BN Sabah, juga saya dan keluarga mengucapkan salam takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Sharifah Rahmah Syed Ali, tujuh anak terdiri daripada empat lelaki dan tiga perempuan serta lima cucu.

Allahyarham yang juga Ketua UMNO Bahagian Tawau kali terakhir turun padang bertemu penduduk kawasan DUN Apas di Tawau pada 25 Feb lepas dalam program bersama Musa di Kampung Membalua.

Dalam ucapannya yang menyentuh hati, Allahyarham menyuarakan kerisauannya tidak sempat bertemu rakyat, namun tetap mengingatkan semua agar mengundi parti dan bukan kerana individu.