Tawaran Tender Bagi Dua Masjid, Dua Surau Di Labuan

698
ROZMAN ISLI

LABUAN: Sekurang-kurangnya dua masjid dan dua surau di pulau ini sedang diusahakan untuk proses penawaran tender bagi kerja menaik taraf, kata Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli.

Rozman berkata beliau difahamkan cadangan projek itu yang dilaksanakan di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan  (MAIWP) ialah Masjid An Nur di pusat bandar dan Masjid Sirajul Islam, Tanjung Aru, serta Surau Baitul Makmur, Durian Tunjong dan  Surau Ikhlasiah di Kampung Belukut.

“Perkara ini dijelaskan kepada saya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof semasa persidangan Parlimen pada 9 April lepas,” katanya kepada Bernama hari ini.

Rozman mengemukakan soalan berkaitan status projek pelaksanaan pembinaan baharu dan naik taraf masjid serta surau itu tetapi tidak dilaksanakan setakat hari ini.

Katanya projek bagi keempat-empat masjid dan surau itu  itu dijangka dimulakan pada akhir Jun dan dijangka siap antara 18 hingga 24 bulan.

Menurutnya terdapat tiga lagi projek, Masjid Ar-Rahman, Sg Lada, Masjid Nur Iman, Kg Ganggarak dan Surau Nurul Islam di pusat bandar yang berada di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) masih belum dilaksanakan.

“Saya dimaklumkan bahawa mesyuarat penyelarasan pada Jun 2018 membuat keputusan bahawa semua projek baharu yang belum ada komitmen ditangguhkan dan usaha sedang dijalankan untuk mencari penyelesaian yang lebih baik bagi status projek yang terjejas itu.

“Projek terbabit ialah Masjidul Iman, Sg Bedaun, yang telah ditender semula dan sebuah kontraktor telah dilantik untuk melaksanakan projek itu yang dijadual siap pada 12 Jan 2021.