Tawar Khidmat Pelacuran, Wanita China Ditahan

89

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Seorang pelancong warga China ditahan atas kesalahan melakukan kegiatan pelacuran di sebuah pusat reflexology, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, wanita warga China berusia 37 tahun itu disyaki bekerja di pusat reflexology itu tanpa permit yang sah.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek melakukan kegiatan pelacuran dengan cara menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan urutan badan.

ACP HABIBI MAJINJI

Katanya, suspek mengenakan bayaran sebanyak RM200 sekali langganan.

”Suspek mendedahkan telah datang ke Kota Kinabalu lebih kurang dua minggu sebagai pelancong dan kemudian bekerja di premis tersebut bagi mendapatkan wang balik ke negara asal.

”Tangkapan dan rampasan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Kinabalu bagi siasatan lanjut,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Dalam kes berlainan, seorang pemandu kereta sewa ditahan polis kerana didakwa mencabul seorang penumpang wanita berusia 18 tahun.

Habibi berkata, mangsa yang menaiki bas dari Kota Belud ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) telah diminta menaiki kereta sewa sebaik tiba di Terminal Bas Bandaran Kota Kinabalu.

”Sebaik turun dari bas, pengadu bersama seorang penumpang lain menggunakan khidmat sebuah kereta sewa jenis perodua kancil kerana pemandu bas tersebut mempunyai urusan penting. Selepas seorang penumpang lain turun, pengadu meminta suspek menghantarnya ke HQE1.

”Dalam perjalanan ke HQE1, suspek memberhentikan kereta di kawasan simpang tiga Jalan Bukit Bunga Raja. Suspek kemudian bertindak meramas paha kanan pengadu.

”Terkejut dengan tindakan suspek, pengadu memarahi suspek dengan menyatakan dirinya telah bertunang dan menunjukkan gambar lelaki dalam telefonnya. Suspek kemudian menyatakan mengenali gambar lelaki itu kerana mereka bersekolah yang sama sebelum ini,” katanya.

Habibi berkata, suspek kemudian menghantar pengadu ke hostel pekerja kantin HQE1.

Berikutan itu, pengadu membuat laporan polis dan suspek ditangkap pada hari yang sama, jam 2.05 petang.