Taraf Sistem Perparitan Di Pekan Ranau Dibaiki Untuk Tangani Banjir Kilat

RANAU: Satu tinjauan yang diketuai oleh Faimin Kamin, Pegawai Daerah Ranau mendapati saiz parit yang kecil tidak dapat menampung jumlah hujan yang turun berikutan trend hujan lebat pada sebelah petang di daerah ini.

Ini mengakibatkan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di sekitar pekan Ranau sejak beberapa hari lepas, dan bukannya parit yang sumbat.

FAIMIN KAMIN

“Semua parit berfungsi dengan baik dan tiada yang tersumbat,” kata beliau kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di beberapa lokasi yang dilanda banjir kilat di sini Rabu, bersama pegawai JKR dan JPS daerah.

“Kita telah mengenal pasti beberapa punca yang menyebabkan banjir kilat itu dan sebuah jawatankuasa bakal ditubuhkan dan akan mencadangkan untuk menaik taraf sistem perparitan di seluruh pekan Ranau.

Beliau berkata, semua cadangan akan dikemukakan kepada Masidi Manjun, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Karanaan.

Masidi telah bersetuju untuk membantu mendapatkan peruntukan daripada kerajaan pusat, dan jawatankuasa yang bakal ditubuhkan akan menilai anggaran kos untuk menaik taraf sistem perparitan tambah beliau.

Bagaimanapun, kata Faimin, banjir kilat itu cepat pulih dan tidak menjejaskan mana-mana kampung kerana ia bukan berpunca daripada sungai.

Mengenai dengan jawatankuasa itu, beliau berkata ia akan dianggotai agensi berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran.