Tanpa Kekayaan Sabah, Kuala Lumpur Tiada Apa-apa

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
TAWAU: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyelar pemimpin Kerajaan Persekutuan yang mengugut rakyat Sabah untuk seiring dengan mereka jika mahu pembangunan negeri ini dapat diteruskan.

Ketua Menteri berkata, hakikatnya bukan Sabah yang memerlukan pemimpin Persekutuan sebaliknya pemimpin Persekutuan sebenarnya yang dahagakan sokongan rakyat Sabah agar mereka boleh terus menikmati kekayaan hasil bumi negeri ini.

Katanya, tanpa Sabah, Kuala Lumpur tidak akan mengecapi nikmat pembangunan yang ada pada hari ini tetapi pemimpin-pemimpinnya lupa tentang tanggungjawab terhadap Sabah walaupun sudah 57 tahun Malaysia dibentuk.

“Diugut kita dikatakan kamu tidak ikut dengan Kuala Lumpur kamu susah, kalau Kuala Lumpur tidak ikut dengan Sabah Kuala Lumpur akam susah.

“Mana ada minyak di Kuala Lumpur, mana ada gas di Kuala Lumpur yang punya minyak paling banyak di bumi Malaysia ialah Sabah 37 peratus minyak di Malaysia dimiliki oleh bumi Sabah, gas kita terbesar di Malaysia minyak kita 1.8 bilion tong simpanan kita punya minyak dorang yang untung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Bersama Rakyat di Merotai petang ini.

Mohd. Shafie berkata, selama berpuluh tahun Petronas mengaut 95 peratus daripada hasil minyak Sabah, namun hanya sedikit yang dipulangkan kepada negeri ini.

Sebab itu katanya, beliau menuntut bayaran 20 peratus daripada Petronas tetapi Kerajaan Persekutuan memberi alasan Petronas akan bankrap jika membayar jumlah tersebut.

“Kita punya minyak saya kena minta bukan dorang punya, bukan saya minta 50 peratus bukan saya minta 70 peratus bukan saya minta 60 peratus cuma saya minta 20 peratus minyak Sabah apa dorang cakap datuk seri kalau bagi 20 peratus bankrap Petronas.

“Dorang ambil selama berpuluh tahun 95 peratus tidak pernah pun Petronas bankrap,” tegas beliau.