Tanjung Aru Kekal Milik Orang Awam – Junz Wong

Photo courtesy of TripSavvy.

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Junz Wong sekali lagi mengulangi pendirian kerajaan Warisan bahawa pantai Tanjung Aru kekal miliki orang ramai.

Katanya, beliau sedar terdapat kerisauan tentang status pantai Tanjung Aru.

“Maka, di sini saya mengulangi sekali lagi bahawa pantai Tanjung Aru akan kekal sebagai pantai untuk orang awam.

“Tanjung Aru telah menjadi milik orang ramai sejak 26 bulan yang lalu. Maka, ia kekal sedemikian selagi Warisan memerintah,” katanya semasa berucap dihadapan kira-kira 200 orang, semalam.

Beliau berkata demikian semasa Ceramah Umum bersama penghuni Rumah Pangsa Tanjung Aru.

Mengenai dakwaan menyatakan beliau membuat u-turn mengenai isu tersebut, Junz berkata orang ramai boleh menilai.

“Jika saya membuat u-turn, sudah awal lagi saya akan pasang tembok dan memulakan kerja-kerja Tanjung Aru Eco Development (TAED) sepanjang dua tahun lalu. Saya boleh teruskan pembinaan seperti dirancang oleh BN.”

“Tapi saya tidak buat begitu. Tidak ada tembok yang dipasang. Tidak ada struktur bangunan yang dibina.

“Untuk itu,  pantai Tanjung Aru masih kekal milik orang ramai sehingga hari ini,” jelasnya.

Junz berkata, Warisan telah menunaikan janji sepanjang 26 bulan yang lalu dan Warisan akan kekal dengan pendirian ini.

Berkenaan pembangunan di Tanjung Aru, Junz berkata Warisan mengalu-alukan pembangunan, tetapi ianya akan dijalankan secara bertanggungjawab.

“Warisan memahami harapan rakyat Sabah. Saya memahami harapan penduduk Tanjung Aru.

“Penduduk Tanjung Aru mahukan pembangunan. Jadi saya akan pastikan ada pembangunan di Tanjung Aru, meskipun ada segelintir yang membantah.

“Kita mahukan pembangunan untuk merancakkan dan memacu ekonomi setempat. Namun, ianya akan dilakukan secara berhemah dan bertanggungjawab,” ujarnya.

Junz berkata, Barisan Nasional (BN) yang bercadang mencagarkan pantai Tanjung Aru dengan pinjaman RM4 bilion dan beliau antara yang pertama membantah cadangan tersebut.

Menurutnya, sehingga hari ini beliau tidak benarkan pantai Tanjung Aru dijual.

“Pemaju mahukan pantai dijadikan milik persendirian, tetapi Warisan mahukan pantai ini kekal dimiliki orang ramai.”

“Sebab itu tidak ada apa-apa yang berjalan sehingga sekarang. Kerajaan Warisan dengan pemaju tidak sepakat dalam soal pemilikan pantai Tanjung Aru,” katanya.

Junz berkata, pendirian Warisan dan penduduk Sabah adalah jelas. Kerajaan dan rakyat mahukan pembangunan, tetapi tidak akan sampai gadai pantai Tanjung Aru yang menjadi milik rakyat.