
Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menyarankan lebih banyak syarikat swasta terutama pengusaha ladang tampil membantu kerajaan dalam usaha pemuliharaan hidupan liar di Sabah.
Ini seiring dengan usaha Genting Plantation yang memperuntukkan 110 ekar tanah untuk dijadikan laluan koridor hidupan liar di kawasan Lahad Datu. Tanah itu akan menghubungkan Sanktuari Hilir Kinabatangan dengan hutan simpan.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar Christina Liew berkata, Perjanjian Persefahaman (MoU) yang termeterai antara kerajaan dan Genting Plantation itu dilihat sebagai langkah permulaan bagi usaha konservasi (pemuliharaan) hidupan liar di negeri ini.
“Perjanjian itu adalah langkah permulaan untuk kita menggalakkan pemilik ladang agar terlibat sama dalam usaha konservasi gajah. Kita mahu lebih banyak syarikat swasta akan terlibat dalam usaha pemuliharaan hidupan liar ini.
“Saya percaya konflik antara manusia dan gajah perlu dikendalikan secepat mungkin. Ia tidak boleh dibiarkan berterusan kerana kini hanya tinggal 2,000 ekor sahaja gajah yang terdapat di Sabah. Kita memandang serius perkara ini.
“Atas sebab itu, kita berharap melalui MoU ini, lebih banyak syarikat swasta akan tampil membantu menjalankan usaha pemuliharaan hidupan liar,” katanya ketika ditanya mengenai langkah yang perlu dilakukan pengusaha ladang dalam membantu menangani konflik manusia dan gajah.
Christina berkata demikian selepas Majlis Perasmian UmbrElephant Campaign sempena Hari Gajah Sedunia 2018, di sini pada Isnin.
Beliau berkata sektor swasta mungkin boleh menyumbang tanah atau kewangan dalam menjayakan usaha konservasi ini.
Disamping itu, kerajaan melalui Jabatan Hidupan Liar (JHL) bersama Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) dan Jabatan Perhutanan Negeri mula bekerjasama dengan pengusaha ladang dalam memastikan tiada lagi perangkap atau jerat yang dipasang di kawasan ladang mereka.

Pengarah JHL Augustine Tuuga berkata, pihaknya bersama WWF dan Jabatan Perhutanan ada melakukan pembersihan jerat di sebuah ladang di Lahad Datu.
“Difahamkan jerat-jerat itu dipasang oleh pekerja ladang. Kita berbincang dengan pengurusan ladang supaya mengenakan tindakan terhadap pekerja yang memasang jerat di kawasan hutan,” katanya bagi membidas kritikan dilemparkan orang ramai bahawa kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pihak yang memasang jerat atau perangkap hingga mengakibatkan kematian gajah.
Augustine berkata, kerajaan boleh mengambil tindakan terhadap individu yang didapati memasang jerat di kawasan hutan simpan.
Mengenai usaha kerajaan dalam membantu mengurangkan kematian gajah Christina berkata, pelbagai program dilakukan kerajaan dari peringkat sekolah hingga Kerajaan Negeri dalam memulihara hidupan liar di Sabah.
“Usaha melindungi gajah daripada bahaya perlu dilakukan secara berterusan. Ia tidak boleh dilaksana sekali sahaja. Saya percaya dengan langkah berterusan yang membabitkan kerjasama sektor swasta dan kerajaan, kita mampu memperbaiki situasi ini,” jelasnya.

Setakat ini, empat gajah dilaporkan mati akibat kecederaan yang dialami setelah terkena jerat.
Sementara itu, Pengarah Projek Seratu Aatai Dr Nurzhafarina Othman berkata, tanggungjawab pemuliharaan gajah ini terletak pada bahu kerajaan semata-mata, orang awam juga boleh memainkan peranan.
“Jika orang awam memasuki kawsan hutan dan ternampak jerat, kita bertanggungjawab untuk membuka jerat itu. Kita perlu mula menggalakkan orang Sabah memainkan peranan masing-masing dan tidak menuding jari kepada kerajaan sahaja.
“Kita juga perlu memperbaiki hubungan komunikasi dengan pekerja ladang yang kebanyakan warga asing supaya boleh memberi pemahaman kepada mereka bahawa tindakan memasang jerat itu mendatangkan bahaya kepada gajah,” katanya.
Tanah seluas 110 ekar untuk pemuliharaan hutan di kawasan Genting Plantation itu akan dikhaskan sebagai kawasan pemuliharaan gajah untuk tempoh 25 tahun.
Ditanya bagaimana gajah di kawasan ladang itu tahu laluan berkenaan selamat, Zhafarina berkata, biasanya apabila sesuatu kawasan itu kurang gangguan dan aktiviti manusia, gajah akan datang ke kawasan berkenaan secara semulajadi.
Katanya, gajah sering mengelak kawasan yang mempunyai manusia. Apabila kawasan ini dikhaskan untuk pemuliharaan, gajah akan datang secara semulajadi ke sini.