Tanding Parlimen Tawau? Warisan Perlu Jumlah Kerusi Besar

TAWAU: Parti Warisan (Warisan) memerlukan jumlah kerusi yang besar pada pilihan raya akan datang untuk memastikan suara rakyat Sabah lebih didengari.

Justeru, kerusi Parlimen yang akan ditandingi juga perlu lebih besar agar Warisan mampu membawa suara rakyat di peringkat Parlimen, begitu juga di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, bagi Parlimen Tawau, beliau belum memutuskan sama ada akan bertanding atau sebaliknya.

“Kita tunggu sampai waktunya. Kita akan lihat bagaimana mahu perkuatkan parti sebab kita mahu suara rakyat Sabah kedengaran.

“Jadi, kalau mahu suara kedengaran, kita perlu jumlah yang besar sebab kalau jumlahnya kecil maka, suara kita menjadi kecil,” katanya ketika mengulas tentang kemungkinan Warisan bertanding di Parlimen Tawau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, Warisan sudah cukup bersedia untuk menghadapi PRU-15 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Menurut Mohd Shafie, mereka perlu ada kesiapsiagaan daripada awal kerana yang menentukan PRU ialah BN maka, Warisan tidak boleh menunggu PRU diumumkan baharu hendak siap siaga.

“Kita sedia, tidak jadi masalah sama ada esok (PRU-15), sama ada tahun depan, kita kena ada kesiapsiagaan.

“Bukan kita tentukan bila pilihan raya, mereka (BN) yang menentukan bila PRU,” ujarnya.

Biarpun kluster mahkamah mendesak untuk segera mengadakan PRU namun, keputusan itu terletak ditangan Perdana Menteri yang juga orang UMNO.

Maka, jika parti UMNO mahukan sebegitu, sudah pasti pemimpinnya juga akan memutuskan sedemikian. Biasanya orang parti akan mengikut suara partinya dan bukan suara musuhnya.
Jelasnya, bila pun PRU-15 diadakan belum ada jaminan ekonomi akan stabil kerana keadaan ekonomi dijangka lebih buruk pada tahun hadapan.

Dengan keadaan negara yang mempunyai hutang yang banyak, keadaan ekonomi negara akan terjejas sekiranya ekonomi dunia dalam keadaan buruk.