Tanah Runtuh, Jalan Ranau-Tambunan Terputus Hubungan

RANAU : Satu kejadian tanah runtuh menyebabkan Jalan Ranau-Tambunan tidak dapat dilalui kenderaan.

Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Ranau, Mac Glen Frederick Lojuman berkata kejadian itu berlaku di kilometer 21.2 berhampiran Kampung Tungou, Ranau, kira-kira 9 malam semalam.

Katanya, tanah runtuh membawa bersama pokok tumbang dan batu, menghalang keseluruhan laluan menyebabkan pengguna jalanraya terkandas.

Susulan kejadian itu, JKR telah menghantar 2 jengkaut ke lokasi untuk mengalihkan timbunan tanah dan orang ramai diminta bersabar sementara menanti laluan terbabit dibersihkan.