Tanah Runtuh Di Jalan Kundasang–Kota Kinabalu, Ratusan Pengguna Jalanraya Terkandas

RANAU : Satu kejadian tanah runtuh dilaporkan di Jalan Kundasang – Kota Kinabalu, di laluan Kinasaraban-Bundu Tuhan berhampiran Kampung (Kg) Pinolobuh, Bundu Tuhan di Kundasang dekat sini, petang semalam.

Menurut jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Ranau, pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah membuat pemantauan di sekitar lokasi kejadian.

“Kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan laluan jalan utama Kg Pinolobuh dan setakat jam 10.15 malam tadi, belum ada kerja-kerja pembersihan dijalankan.

“Keadaan jalan raya tidak dapat dilalui oleh kenderaan kecil,” kata jurucakap itu dalam kenyataan media dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah memaklumkan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 7.04 malam.

Sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau bergegas ke lokasi yang terletak 32 kilometer dari balai.

Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain serta menasihatkan pemandu untuk menggunakan jalan alternatif.

Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.