Tambahan 13 Kerusi DUN Sabah Dibentang Rabu Depan

216

KOTA KINABALU: Kerajaan akan membentangkan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Pereempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) berserta Laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Dewan Rakyat 17 Julai depan bertujuan menambah 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu di Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, dokumen berkenaan telah pun diletakkan di meja kesemua Ahli Parlimen semalam untuk dibaca sebelum pembentangan.

Beliau berkata, draf berkenaan sebenarnya telah tersedia sejak Ogos 2016, namun tidak pernah dibentang oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

“Seperti yang sedia maklum, pindaan undang-undang Perlembagaan negeri Sabah terhadap Perkara 14 Fasal (2) bagi menambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu daripada 60 kerusi kepada 73 kerusi telah berkuatkuasa pada 18 Ogos 2016.

“Pada 21 Februari 2017, Laporan SPR tersebut telah diserahkan kepada mantan Perdana Menteri selaras dengan Seksyen 8, Bahagian II, Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan, namun tidak diusul untuk pembentangan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, pada 26 Jun 2018, SPR telah menyerahkan semula laporan SPR tersebut kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan setelah menelitinya kerajaan Pakatan Harapan (PH) memutuskan adalah penting untuk menyediakan perwakilan demokrasi yang mencukupi dan efektif untuk rakyat Sabah mengikut permintaan semasa.

BERITA BERKAITAN: –

RUU Tambah 13 Kerusi DUN Sabah Dibentang Minggu Depan?