Tamatkan Karier Politik Anifah Di Bongawan

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
BONGAWAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan amat menarik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Kemenangan kepada calon parti Warisan Sabah (Warisan) akan memastikan kerusi itu dipertahankan dalam misi Warisan Plus terus mentadbir Sabah.

Namun, selain sasaran untuk mencapai kemenangan bagi menyumbang kerusi pembentukan kerajaan Warisan Plus, calon Warisan, Dr. Daud Yusof mempunyai misi lain iaitu mematikan terus karier politik Datuk Seri Anifah Aman.

Anifah yang diketahui mempunyai DNA UMNO dalam perjuangan politiknya masih berpengaruh di Bongawan kerana beliau bekas Ahli Parlimen Kimanis dan Ketua UMNO Bahagian Kimanis.

Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 menyaksikan Anifah menang di Parlimen Kimanis tetapi kemenangannya dibatalkan mahkamah kerana berlaku penipuan menyebabkan karier politik Anifah hampir berkubur.

Kini, beliau mengambil alih kepimpinan Parti Cinta Sabah (PCS) untuk kembali ke dalam arena politik dengan misi utama menjadi Ketua Menteri, meneruskan legasi keluarga Aman untuk menguasai Sabah.

Justeru, PRN Sabah ini adalah peluang kepada pengundi Bongawan bukan sahaja untuk memberikan kemenangan kepada Warisan tetapi juga untuk menamatkan secara mutlak karier politik Anifah.

MD ZAINAL

Setiausaha Bahagian Warisan Kimanis, Md. Zainal Mat Ali berkata, peluang yang ada tidak boleh dilepaskan oleh pengundi Bongawan kerana inilah masanya mereka boleh membersihkan negeri ini daripada pemimpin-pemimpin yang rakus menghakis kekayaan negeri.

“Jangan percaya PCS akan memerintah Sabah, Warisan akan mencapai kemenangan dalam PRN ini jadi kita mesti mengundi Warisan di Bongawan.

“Ini peluang kita, Warisan adalah satu-satunya parti yang membela hak dan nasib rakyat Sabah kita tidak mahu membiarkan Anifah menang di sini kita mahu kemenangan,” katanya ketika ditemui Borneo Today.

TALIP ROSLAN

Timbalan Ketua Cabang PKR Kimanis, Talip Roslan Hussin berkata, parti itu akan bekerja keras memastikan kemenangan kepada Warisan Plus demi memastikan kerajaan negeri sedia ada kekal.

“Kami akan pastikan ahli-ahli kami mengundi calon Warisan Plus kerana inilah yang kita mahu iaitu kemenangan kepada kerajaan pimpinan Warisan.

“Kerjasama ini pasti berjaya demi negeri Sabah, pesan P. Ramlee tersalah pangkah boleh dapat tahi, maka kita mahu rakyat pilih Warisan, lawan tetap lawan,” tegasnya.

Dalam PRN Sabah 26 September ini, DUN Bongawan menyaksikan pertembungan empat penjuru iaitu antara Daud dan Anifah serta Ag. Lahap Ag. Bakar daripada BN serta Mohd. Azree Abd. Ghani mewakili LDP.