Taman-Taman Sabah Komited Tangani Masalah Ghost Net Di TARP

Mohd Amin (dua kanan) bersama Pengarah TTS Dr Jamili Nais (dua kiri) dan pegawai kanan TTS dan tetamu jemputan memotong kek sebagai simbolik Hari Pewartaan ke-45 TARP.

KOTA KINABALU: Taman-Taman Sabah (TTS) akan terus komited membersihkan kawasan Taman Tunku Abdul Rahman (TAR) daripada ghost nets atau pukat ikan yang hanyut ke kawasan berkenaan.

Pengerusi TTS Mohd Amin Abdul Mem berkata, kewujudan ghost nets di kawasan selaman mendatangkan bahaya bukan hanya kepada penyelam skuba tetapi juga kepada hidupan marin.

Oleh itu, usaha menangani isu ghost nets ini perlu diberi perhatian agar tiada kemalangan berlaku ketika penyelam skuba melakukan aktiviti selaman di sekitar TARP.

“Pihak TTS ambil maklum setiap aduan daripada pihak luar sekiranya mereka terjumpa ghost nets. Setiap aduan yang diterima kita akan ambil tindakan supaya ghost nets ini dapat dikurangkan, biarpun ianya sukar ditangani sepenuhnya.

“Dalam menangani ghost nets ini, kita melihat kepada dua apsek iaitu pembersihan dan tempat pembiakan ikan kecil.

Antara ghost nets yang dibersihkan oleh penyelam Sparks Divers Club di kawasan TARP.

“Jika perlu dan mendatangkan bahaya, ghost nets perlu dibuang untuk menjaga kebersihan dan keselamatan di dasar laut. Namun, sekiranya ghost nets itu sudah lama dan menjadi rumah kepada ikan-ikan kecil, mungkin ia patut dibiarkan berada di dasar laut untuk dijadikan tukun tiruan bagi pembiakan hidupan marin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Inisiatif Pembersihan Ghost Nets di Perairan TARP dan Majlis Pelancaran Sparks Divers Club sempena Hari Pewartaan TARP ke-45, di Pulau Manukan, di sini pada Rabu.

Menurutnya, kewujudan ghost nets di kawasan TARP disebabkan oleh bawaan arus dan kekerapan aduan diterima bergantung kepada keadaan dan perubahan angin.

Dalam pada itu, Mohd Amin berkata, pihak TTS sedang mengenalpasti kaedah terbaik bagi mengawal kemasukan pelancong ke kawasan TARP agar persekitaran pulau dan hidupan marin di kawasan TARP dapat dijaga dengan sebaiknya.

Dengan penubuhan kelab skuba itu, beliau berharap kakitangan TTS akan terus komited mempromosikan usaha pemuliharaan hidupan marin kepada pengunjung yang datang ke TARP.

“Pelancong yang datang ke sini juga perlu menunaikan tanggungjawab sosial dalam menjaga hidupan marin dan kebersihan pulau ketika mereka berkunjung ke sini,” ujarnya.

Mengenai kelab itu, Sparks Divers Club disertai seramai 101 orang kakitangan TTS seluruh Sabah yang merupakan penyelam berlesen dan bertauliah.

Dalam program pembersihan ghost nets itu, sejumlah 72kg pukat berjaya dibersihkan di dua tapak selaman di kawasan TARP.

Kakitangan TTS menimbang ghost nets yang berjaya dibersihkan dari dasar laut.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Amin menyarankan komuniti nelayan supaya mula mengubah mentaliti dengan memfokuskan kepada pelancongan dan pemuliharaan hidupan marin. Nelayan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan ikan semata-mata kerana semakin hari, sumber marin seperti ikan semakin berkurang.

Maka, jika tiada usaha pemuliharaan hidupan marin dilakukan, dikhuatiri hidupan marin akan berdepan kepupusan suatu hari kelak.

Mengenai kapasiti pengunjung ke TARP, setiap hari dianggarkan terdapat 300 hingga 500 orang pengunjung datang ke setiap pulau di kawasan TARP.

Buat masa ini, TTS sedang mengenalpasti had yang perlu ditetapkan bagi mengawal kemasukan pengunjung ke pulau-pulau di TARP.

Usaha menetapkan had itu dilakukan bagi membolehkan kawalan kebersihan dan konservasi hidupan marin dapat dilaksanakan secara berkesan.