Taman-Taman Sabah Komited Laksana Restorasi Karang

KUDAT: Selepas enam tahun diwartakan sebagai taman marin, usaha memulihara hidupan marin di perairan Taman Tun Mustapha kini diteruskan melalui kerja-kerja restorasi karang.

Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS), Dr. Maklarin Lakim berkata, dengan bantuan dana berjumlah RM1.036 juta yang di bawah Projek Pengurusan Laut, TTS akan melaksanakan restorasi di dua lokasi iaitu Maliangin dan Patanunan, Taman Tun Mustapha.

Projek tersebut akan mengambil masa selama 20 bulan dan bermula dari 1 Mei lalu sehingga 15 Disember 2023. Sebanyak RM 460,630 akan disalurkan ke TTS bagi menjalankan kerja-kerja restorasi.

“Pada masa ini tahap terumbu karang di kedua-dua kawasan itu masih lagi sihat dan boleh dipulihkan semula. Justeru, kami akan menanam tukun tiruan di kawasan seluas padang bola sepak dengan dana yang diperuntukkan.

“Kami menganggarkan kos bagi sebuah tukun tiruan bernilai RM 2,000 sehingga RM20,000 bergantung kepada saiz serta kos logistik bagi mengangkut dan menurunkan tukun tersebut ke dasar laut,” katanya dalam sidang akhbar baru-baru ini.

Hadir sama ialah Ketua Program Marin Tabung Alam Sedunia (WWF-Malaysia), Monique Alwine Sumampow.

Menurut beliau, kerja-kerja restorasi ini akan melibatkan komuniti di kawasan pesisir pantai agar mereka sama-sama dapat menyumbang kepada penjagaan taman marin tersebut.

Katanya, menerusi Pelan Pengurusan Taman Tun Mustapha (2017-2025), TTS memberi penekanan kepada program restorasi dan pemuliharaan kepelbagaian biologi selaras dengan teras pertama Pelan Strategik Taman 2025 iaitu meningkatkan pengurusan taman.

Mengulas lanjut katanya, inisiatif program restorasi di taman ini bermula pada November 2020 melalui perbincangan dengan WWF-Malaysia untuk memohon dana di bawah Projek Pengurusan Laut yang dibiayai oleh Kesatuan Eropah.

Menyentuh tentang penguatkuasaan, Maklarin berkata, kapal-kapal yang terlibat dalam melanggar dan memusnahkan terumbu karang di perairan Taman Tun Mustapha turut dikenakan kompaun.

Antara insiden yang dikenakan tindakan adalah insiden kapal tongkang di Banggi, kapal karam di Kampung Sibogo Laut dan kapal Kong Hin 2 yang terkandas merosakkan batu karang di perairan Kudat.

Ditanya tentang kuota aktiviti selam skuba di Pulau Sipadan, Maklarin berkata, pada masa ini mereka sedang menyemak semula semua status terkini pulau-pulau di bawah pengurusan TTS sebelum mengambil sebarang keputusan untuk meningkatkan kuota pengunjug.

Katanya, kajian akan dilakukan bagi memastikan status quo dikekalkan dan penambahan kuota tidak akan menjejaskan had daya tampung sesuatu kawasan selam skuba.