Taman Orkid Substesen Gunung Alab Himpun Lebih 100 Spesies Orkid Liar

KOTA KINABALU: Substesen Gunung Alab yang terletak di jalan Kota Kinabalu-Tambunan di sini merupakan salah satu tempat tarikan bagi mereka yang gemar melancong untuk menikmati ke persekitaran alam sekeliling yang indah, disebabkan kedudukannya di kawasan hutan dilindungi Taman Banjaran Crocker, atau Crocker Range Park (CRP).

Selaras dengan kelebihan CRP yang kaya dengan ribuan spesies orkid liar, atau anggerik, pihak pengurusan Taman-taman Sabah telah mengambil inisiatif untuk membina sebuah taman orkid khusus di persekitaran substesen itu untuk dihayati mereka yang benar-benar berminat dengan tumbuhan orkid.

Renjer Taman-taman Sabah Benidict Joseph Busin, 50, berkata taman orkid liar Substesen Gunung Alab yang dikendalikan oleh Taman-negara Sabah itu menempatkan lebih 100 spesies yang dikumpul daripada hutan sekitar Gunung Alab.

Substesen Gunung Alab yang dibangunkan pada tahun 2015 itu dilengkapi dengan kira-kira 400 meter platform laluan untuk kemudahan pejalan kaki menyusuri pokok-pokok sekitar kawasan itu bagi melihat sendiri keindahan tumbuhan orkid liar.

“Saya sendiri terlibat dalam usaha mengumpulkan tanaman orkid liar di tengah hutan di Gunung Alab dan kemudiannya menanamnya di sini bagi kemudahan dan keselesaan pelawat melihatnya dari dekat,” katanya kepada Bernama.

Selain menguruskan Substesen Gunung Alab Substation, Benidict turut terlibat dengan kerja-kerja melindungi spesies tanaman orkid liar yang tumbuh di taman itu, yang dianggapnya sebagai satu warisan flora.

Sebagai renjer hutan, beliau juga sedar bahawa anak pokok orkid memang ada dijual secara terbuka sekitar sini, terutama di pasar tamu sekitar Tambunan.

“Saya bukan hendak menuduh mereka mengambilnya dari CRP di sini, tapi saya benar-benar ambil berat mengenai perkara ini, kerana sepanjang pengetahuan saya masih ada banyak spesies orkid liar di kawasan ini yang belum dikenal pasti,” katanya.

“Sekiranya mereka mengambil pokok-pokok ini dengan menceroboh CRP, ini merupakan satu ancaman kepupusan kepada tumbuhan orkid liar ini. Perlu ingat bahawa spesies tumbuhan unik ini adalah sebahagian daripada flora asli, kita perlu melindunginya untuk diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.

CRP adalah taman daratan terbesar Sabah yang terletak di lapan daerah di pantai barat negeri dan pedalaman Sabah dengan ketinggian antara 100m hingga 2,050m di puncak Gunung Alab.

Benidict berkata Substesen Gunung Alab ditutup buat sementara waktu ketika ini disebabkan pandemik COVID-19 dan menurutnya sebelum kemunculan pandemik itu, beliau menganggarkan kawasan berkenaan biasanya dikunjungi kira-kira 1,000 pelawat setiap tahun.

Menurutnya sebelum Substesen Gunung Alab itu dibuka, ia merupakan pos kawalan yang dikendalikan oleh dua petugas Taman-taman Sabah.

Kini kawasan substesen itu dikenali sebagai salah satu destinasi terapi semula jadi terbaik di Sabah, dilengkapi dengan beberapa chalet dan asrama, di samping menyediakan laluan “trekking” ke beberapa air terjun, termasuk ke destinasi air terjun Mahua melibatkan perjalanan 12kilometer.

“Ramai penduduk tempatan dan pelancong asing telah menyusuri jalan ini untuk menikmati udara segar dan alam semula jadi. Terdapat kawasan perkhemahan di sepanjang jalan dan beberapa pengunjung memilih untuk berkhemah di hutan,” katanya sambil menambah bahawa dia dibantu oleh lima petugas.