Tali Air Tersumbat Punca Beberapa Kampung di Sindumin Mudah Dinaiki Air

SIPITANG: Masalah tali air yang tersumbat di kawasan berhampiran Pekan Sindumin di sini merupakan antara faktor menyebabkan beberapa buah kampung di sepanjang laluan tali air itu mudah dinaiki air, terutama pada musim hujan.

Seorang penduduk Kampung Seri Menanti di kawasan itu yang sering berhadapan dengan masalah berkenaan Sulaiman Tuba, 74, berkata paras air di kawasan rumahnya mula naik seawal pukul 6 pagi hari ini sehingga ke paras kira-kira 1.22 meter selepas hujan tanpa henti sejak petang semalam hingga awal pagi di daerah itu.

Katanya banjir kali ini adalah kali empat dan paling serius tahun ini, yang berpunca daripada limpahan air dari Ulu Sungai Megalong sebelum mengalir dan menggenangi beberapa buah kampung, antaranya Kampung Kawang Lama, Kampung Kawang Baru, Kampung Pantai, Kampung Skim sawah padi dan Kampung Bahagia.

“Bawah rumah memang habis (tenggelam), namun belum mencecah lantai rumah sebab rumah pakcik bertiang dan rumah-rumah penduduk di sini juga dibina dengan bertiang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sulaiman yang juga bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sabah Forest Industries (SFI) berkata tali air berkenaan yang tersumbat menyebabkan aliran air dari Sungai Megalong tidak dapat keluar ke laut dan bertakung.

Pekan Sindumin yang berada dalam daerah Sipitang terletak di pantai barat Sabah dan kira-kira 162 kilometer barat daya Kota Kinabalu.

Ketua Kampung Seri Menanti Paris Langub berkata kampung berkenaan amat terkesan apabila tali air tidak berfungsi baik menyebabkan limpahan air sungai bertakung, malah lebih menyedihkan ada kampung yang berhampiran ditenggelami air sehingga dua minggu meskipun air banjir di kampung lain sudah surut.

Beliau berkata kenaikan paras air kali ini agak besar sehingga mencecah paras pinggang berbanding banjir sebelum ini, namun beliau bersyukur kerana kedudukan rumahnya yang terletak jauh dari tali air tidak dinaiki air.

Katanya terdapat kira-kira 800 penduduk di Kampung Seri Menanti yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Pekan Sipitang dan hampir kesemua rumah penduduk disitu dinaiki air.

“Walaupun air banjir tidak deras tetapi parasnya meningkat dan rata-rata penduduk berada dalam keadaan selamat selain dipantau oleh pihak keselamatan,” katanya.