Takutkan Rakyat Satu Pemikiran Tidak Sihat

Oleh ARDYHANSAH AMAT
SEMPORNA: Setiap pemimpin parti politik yang bertanding bertanggungjawab dalam menjaga keharmonian dan keselamatan masyarakat.

Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Jaujan Sambakong menyatakan rasa terkilan apabila ada segelintir calon bertanding termasuk pemimpin parti memomokkan orang ramai dengan berita keselamatan dan kedaulatan Sabah.

“Ini adalah satu pemikiran tidak sihat kerana cuba membangkitkan isu yang boleh menimbulkan kebimbangan rakyat semata-mata untuk meraih undi.

“Ada baiknya jika mereka bercerita mengenai penambahbaikan selepas ditolak pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, bukannya menakut-nakutkan orang ramai,” katanya kepada media ketika melakukan lawatan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pulau Mabul, dekat sini, hari ini.

Tambahnya, selain isu keselamatan, terdapat juga pemimpin parti mahu pun calon sering meniupkan api perkauman dalam usaha menghasut masyarakat negeri ini saling berprasangka tidak baikantara satu sama lain.

“Itu sikap tidak bertanggungjawab apabila adanya usaha mereka cuba mengelirukan rakyat dengan fakta yang sengaja diputarbelit,” katanya.

Sementara itu, Jaujan berpuas hati dengan persediaan jentera PDM Pulau Mabul menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, minggu depan.

“Bagaimanapun, saya berharap jentera parti tidak leka sebaliknya terus berusaha dalam memastikan kita menang di sini.

“Ini kerana dalam tempoh lima hari ini, sudah tentu parti lawan juga akan muncul dengan pelbagai strategi untuk memenangi hati rakyat,” katanya.